‘SINGGAH SENI 3.0’ WARNAI PERPUSTAKAAN UNISZA
Imam Muslim menjelaskan tentang kesenangan estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan antara seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, beliau menjelaskan seni itu sebagai suatu bentuk ilmu (pengetahuan) di mana seseorang yang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan manifestasi pemikiran dan perasaannya terhadap sesuatu objek yang dihayatinya melalui karya-karya seni, ataupun setidak-tidaknya akan menghargai keindahan objek serta karya tersebut, sekiranya tidak mampu menghasilkan karya seni. Ini adalah kerana seni itu sendiri mempunyai pertalian erat di antara penggiat dan khalayak seni itu sendiri.
Bagi menghargai pemikiran dan karya-karya seni, pameran Singgah Seni 3.0 ‘bertandang’ lagi ke Perpustakaan UniSZA bermula 17 Disember sehingga 19 Disember 2016. Singgah Seni merupakan suatu pameran kesenian hasil kerja pelajar Rekabentuk Perindustrian yang dianjurkan oleh seramai 139 pelajar dari Fakulti Rekabentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT) dengan kerjasama Perpustakaan UniSZA.
Program ini bertujuan untuk menonjolkan kelebihan serta bakat pelajar sepanjang semester yang dilalui. Selain itu, pameran ini juga diadakan untuk pensyarah membuat penilaian terhadap hasil kerja bagi memenuhi keperluan program.
Pelbagai variasi dan kepelbagaian hasil seni pada kali ini dipamerkan dengan mengetengahkan pelbagai lukisan dan fotografi. Selain itu, pameran ini turut mempamerkan hasil seni seperti soft pastel art dan art on canvas dalam usaha membawa bakat seni para pelajar ini untuk dikongsi bersama warga UniSZA.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA