SIFAR GST GALAKKAN BUDAYA MEMBACA, JAYAKAN PROGRAM NILAM – TIMBALAN KETUA PUSTAKAWAN
Susulan pengumuman kerajaan yang telah bersetuju memberikan sifar GST ke atas semua jenis bahan bacaan baru-baru ini, maka ini mampu menjadi landasan terbaik dalam menggalakkan lagi budaya membaca di kalangan masyarakat kita pada hari ini terutamanya pelajar-pelajar sekolah. Itulah antara intipati ucapan yang disampaikan oleh Puan Faridah Muda, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan UniSZA ketika beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program NILAM, Minggu Bahasa dan Jualan Buku peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit (SMKBR) 2015 pada 6 April lalu. Menurut beliau, aktiviti jualan buku yang dibuat pada program ini dapat menjayakan usaha murni ini serta mampu meningkatkan minat membaca. Beliau juga menyarankan agar perpustakaan ataupun Pusat Sumber Sekolah (PSS) perlu berperanan aktif serta lebih selektif dalam membekalkan bahan-bahan bacaan berkualiti kepada para pelajar. Ini kerana suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu serta membudayakan amalan membaca dalam kehidupan. Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyeru kepada warga pendidikan agar tidak terlalu mengejar kejayaan dalam program NILAM semata-mata, tetapi apa yang lebih penting, menggiatkan usaha yang berterusan dalam memupuk minat membaca di kalangan generasi muda terutamanya, kerana membaca adalah suatu proses pembelajaran sepanjang hayat. Beliau turut mengharapkan agar kerjasama antara pihak sekolah dengan pihak UniSZA, khususnya Perpustakaan UniSZA yang telah terjalin akan berterusan pada masa akan datang.
Program NILAM atau “Nadi Ilmu Amalan Membaca” ini merupakan program yang dilancarkan hasil cetusan idea Kementerian Pendidikan Malaysia. Program ini dirancang bagi menggalakkan pelajar membaca pelbagai jenis bahan bacaan dan berkongsi bahan bacaan tersebut dengan rakan-rakan mereka. Ia juga bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah dan menjadikan mereka masyarakat yang sangat cintakan budaya membaca dan budaya ilmu.
Majlis pelancaran program tersebut yang cukup meriah dengan sambutan paluan kompang oleh para pelajar berlangsung di Dewan Sri Bakong, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Rakit (SMKBR). Turut hadir sama ialah Puan Zaiton Mansor iaitu Guru Besar SMKBR, Puan Nordiana Shafie dari Pusat Kegiatan Guru (PKG) Mengabang Telipot, Guru-guru Penolong Kanan, Guru Pusat Sumber, Guru Penyelaras Program NILAM dan guru-guru serta pelajar SMKBR. Pelbagai aktiviti menarik yang mengisi program ini, antaranya penyampaian sajak dalam bahasa Inggeris, penyampaian hadiah Anugerah NILAM 2014 serta juga‘story-telling’.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR