SEMARAKKAN ‘NEGARAKU SEHATI SEJIWA’ DI ‘TRIVIA KEMERDEKAAN’, PERPUSTAKAAN UNISZA
Bulan Ogos dalam kalendar rakyat Malaysia adalah bulan yang amat bermakna kerana pada tarikh keramat 31 Ogos 1957, Malaysia telah berjaya mencapai kemerdekaan. Pada tahun ini, sambutan kemerdekaan yang diraikan saban tahun di negara kita bertemakan ‘Negaraku Sehati Sejiwa’. Pemilihan tema itu bertujuan untuk menunjukkan betapa pentingnya rakyat Malaysia mempunyai semangat berbilang kaum dan bersatu padu.
Di samping itu, tema ini turut memberi penekanan kepada rakyat Malaysia mengenai bukan mudahnya untuk mencapai kemerdekaan dan kita perlu memastikan semangat bersatu padu dan muafakat terus dicapai bagi memacu negara agar lebih gemilang.
Perpustakaan UniSZA juga mengambil pendekatan menyambut Hari Kebangsaan pada tahun ini dengan mengadakan pameran ‘Trivia Kemerdekaan’ yang berlangsung bermula 7 Ogos 2017 sehingga 16 September 2017. Ini merupakan kolaborasi bersama Perpustakaan UniSZA dengan Muzium Negeri Terengganu yang sudi untuk berkongsi maklumat dan usaha dalam menjayakan pameran ini.
Dalam pameran ini dimuatkan pelbagai informasi mengenai detik-detik kemerdekaan negara, penubuhan Malaysia dan juga ‘wajah’ negeri Terengganu pada sebelum dan selepas merdeka. Pameran ini juga mampu memberikan gambaran serta inspirasi kepada golongan muda khususnya para mahasiswa agar menghargai segala pengorbanan dan jasa nenek moyang kita yang berjuang bagi menuntut kemerdekaan.
Sesungguhnya kemerdekaan yang kita kecapi hari ini hasil daripada pengorbanan yang bukan sedikit. Sepertimana Bapa Kemerdekaan Malaysia, Almarhum Tuanku Abdul Rahman Putra al-Haj, pernah menyebut;
“… merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapat, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan. Dengan kerananya kita terpaksa mengorbankan, bukan sahaja wang ringgit, dan usaha tenaga bahkan jiwa kita sendiri juga…”.
Untuk itu, bersama-samalah kita menghayati semangat ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ di pameran ‘Trivia Kemerdekaan’.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA