Welcome to the Official Website of Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Universiti Sultan Zainal Abidin

Call us on

09-668 7761

Address

UniSZA, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu

PROGRAM DEKAD MEMBACA: PERPUSTAKAAN UNISZA MENUBUHKAN PERPUSTAKAAN MINI DI PERKAMPUNGAN ORANG ASLI ARING 5, GUA MUSANG.

 ISNIN, 6 MEI 2019

                                           

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Sekalipun terpaksa meredah hutan, jauh dari hiruk-pikuk kota, warga Perpustakaan UniSZA nekad dalam usaha untuk merealisasikan hasrat program Dekad Membaca yang telah direncanakan oleh Kementerian Pendidikan. Bagi program kali ini, Perpustakaan UniSZA telah menongkah arus dengan ‘menerjah’ ke perkampungan Orang Asli Aring 5, Gua Musang, Kelantan. Perpustakaan UniSZA telah menyertai Projek Khaleef Bateq yang bertemakan Sekolah Bimbingan Fardhu Ain dan Galakan Membaca anjuran Persatuan Mahasiswa Antropologi dan Dakwah, Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) UniSZA dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Perpustakaan UniSZA telah menubuhkan sebuah Perpustakaan Mini bagi menyantuni 100 orang kanak-kanak daripada 350 penduduk di kampung tersebut.

Program yang bermula sejak Februari 2019 lalu, digerakkan oleh sekumpulan 87 orang mahasiswa Antropologi dan Dakwah dari FSSG telah dirasmikan oleh Dekan FSSG, Prof. Dr. Wan Abd Aziz Wan Mohd Amin yang mewakili Naib Canselor UniSZA pada 4 Mei 2019 lalu. Turut hadir dalam perasmian tersebut ialah ADUN Paloh, Yang Berhormat Haji Amran Arifin, dan Penghulu POS Aring 5, Encik Raina bin Anjang.

                                                       

Antara program yang dirangka bagi manfaat komuniti Orang Asli di sini ialah seperti kelas fardhu ain dewasa lelaki dan wanita, dan kelas pendidikan awal kanak-kanak bagi memantapkan penguasaan 3M (membaca, menulis, mengira) dalam kalangan kanak-kanak Orang Asli. Bagi pihak Perpustakaan UniSZA, ini merupakan inisiatif dan peluang dalam melaksanakan tanggungjawab kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat selain tanda sokongan kepada program Dekad Membaca. Dalam pada itu, perpustakaan mini ini juga akan menjadi platform kepada komuniti Orang Asli menyemai minat membaca dan memperolehi ilmu pengetahuan.

Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Dr. Wan Abd Aziz berkata, pemilihan komuniti Orang Asli dalam program tersebut pula adalah sejajar dengan kehendak program Dekad Membaca yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pada Jun 2018 yang bertujuan untuk menyemarakkan kempen budaya membaca dan seterusnya menzahirkan Malaysia sebagai Negara Membaca menjelang tahun 2030 tanpa meminggirkan mana-mana golongan.

                                            

Selari dengan ucapan tersebut, bagi Pengarah Projek Perpustakaan Mini, Encik Mohd Sabri Muda, menyatakan bahawa program ini dilaksanakan sebagai suatu idea untuk mendedahkan golongan Orang Asli dengan pelbagai bahan bacaan serta membantu mereka untuk menanamkan budaya cintakan ilmu. “Dalam hal ini, kita sebagai warga Perpustakaan UniSZA berasa terpanggil untuk melaksanakan projek bersama dengan Orang Asli memandangkan kita sedia maklum golongan ini sukar untuk keluar dari perkampungan mereka. Apatah lagi, penempatan mereka jauh dari bandar. Kita tidak boleh mengharapkan mereka datang kepada kita. Namun, kita juga tidak boleh meminggirkan golongan ini dari arus pendidikan. Bagi melunaskan tanggungjawab itu, sebagai alternatif, kita mengambil langkah untuk turun ke perkampungan ini bagi memberikan ‘input’ kepada mereka,” ujarnya.

                  

Ternyata usaha ini menampakkan hasil yang positif apabila ramai ibu bapa dan kanak-kanak Orang Asli datang ke program yang dilaksanakan tersebut. Selain menempatkan sejumlah 350 bahan bacaan, sebahagian ruang Perpustakaan Mini turut dijadikan sebagai ruangan pembelajaran. Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan pada hari perasmian tersebut seperti sesi motivasi dan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh 60 orang mahasiswa dari Fakulti Perubatan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd Sayuti Razali.

Projek ini jika diurus dan dikendalikan dengan sebaik mungkin pasti akan berjaya mencapai objektif dan menjadi pemangkin kepada pemupukan budaya membaca dan seterusnya menjadi contoh ikutan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan-kawasan lain.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

Contact Us

Al-Wathiqu Billah Library (PWB)
Universiti Sultan Zainal Abidin
Gong Badak Campus
21300 Kuala Nerus
Terengganu Darul Iman
MALAYSIA

  09-668 7761
  09-668 7854
  library@unisza.edu.my
logo3d left

Location

Follow Us

Visitors

050035
Today: 262
Yesterday: 457
This Week: 3,393
Last Week: 3,106
This Month: 2,717
Last Month: 9,478
Total: 50,035