PRO CANSELOR UNISZA MAHU KARYA SASTERA SASTERAWAN NEGARA DIANGKAT KE PERINGKAT ANTARABANGSA
Pro Canselor UniSZA, Tan Sri Dato' Dr. Mohamad Yusof bin Haji Mohamed Nor berkata, karya-karya sastera para Sasterawan Negara adalah sangat berkualiti dan perlu diangkat ke peringkat antarabangsa. Selain dapat mewarnai bidang kesusasteraan, karya-karya ini dapat juga dikongsi bersama masyarakat luar supaya dapat lebih mengenali budaya dan warisan negara.
Beliau berkata demikian ketika hadir di Majlis Perasmian Galeri Sasterawan di Universiti: A. Samad Said di Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB), UniSZA Kampus Gong Badak pada 11 April 2021.
Beliau turut berbangga dengan usaha UniSZA yang dapat membangunkan sebuah galeri yang menempatkan pelbagai bahan pameran bagi memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada Sasterawan Negara seperti Dato’ Seri A. Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad.
Menurut beliau, dengan adanya galeri tersebut akan dapat memasyhurkan dan memartabatkan hasil karya tokoh sastera tempatan supaya dapat dihayati dan dikongsi bersama pelajar dan seluruh warga universiti. Beliau turut menyifatkan galeri ini merupakan asas untuk memberi posisi yang baik supaya dapat berdiri dengan lebih kukuh di peringkat antarabangsa.
“Pembangunan galeri ini menjadi suatu asas yang baik supaya dapat dimanfaatkan oleh semua warga UniSZA. Ini kerana sastera atau kesusasteraan ini merupakan bahasa yang diperindahkan, selain bahasa itu sendiri menjadi saluran komunikasi unik yang menjadikan sesebuah negara itu mampu mewujudkan sebuah tamadun yang hebat.
Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, kesusasteraan yang paling baik di dunia ini adalah Al-Quran. Ini kerana di dalam Al-Quran itu sendiri terdapat syair, puisi, cerita, plot, drama dan sebagainya yang telah menjadikannya sebagai sebuah mukjizat terhebat kepada umat manusia. Kekuatan Al-Quran bukan sahaja terdapat pada galur bahasanya yang sangat baik dan indah, tetapi juga pada kandungan Al-Quran itu sendiri,” katanya.
Beliau yang hadir merasmikan Galeri Sasterawan di Universiti: A. Samad Said itu, turut meluangkan masa melawat galeri tersebut yang terletak di PWB, Kampus Gong Badak.
Galeri Sasterawan Di Universiti: A. Samad Said telah ditubuhkan pada 2019. Galeri ini menempatkan pelbagai karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara, Dato’ Seri A. Samad Said termasuklah novel, puisi, gambar-gambar dan juga mempamerkan sejarah beliau sepanjang bergelar seorang anak seni.
UniSZA merupakan Universiti Awam (UA) pertama yang menubuhkan Galeri Sasterawan di Universiti. Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan ‘kehadiran’ Sasterawan Negara, Dato’ Seri A. Samad Said secara maya yang turut menyampaikan ucapan melalui aplikasi dalam talian.
Selain itu, persembahan deklamasi sajak oleh Umie Nurlaila Mohamed Azeli bertajuk Benih Harapan turut memeriahkan majlis tersebut. Persembahan ini diiringi tiupan seruling oleh Encik Mohd Norhasim Zulkfay.
Majlis yang berlangsung di Atrium PWB itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Kamarul Shukri bin Mat Teh, Ketua Pusat Dokumentasi Melayu, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Encik Nik Aman bin Nik Yusoff, Ketua 1, Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), Encik Kamarulzaman bin Ismail dan Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Fungsi), Puan Norulhuda binti Makhtar.
11 APRIL 2021
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA