PERPUSTAKAAN UNISZA - PAKAT LAKSANA PROGRAM “SEKOLAHKU UNIVERSITIKU”
KHAMIS, 31 OKTOBER 2019
Program “Sekolahku Universitiku” telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Program tersebut merupakan program baik pulih fasiliti dan pembangunan akademik di sekolah-sekolah terpilih. Program itu melibatkan 20 Universiti Awam (UA), 4 Government Linked Universities (GLU) bersama 43 buah sekolah dan akan dijalankan secara berperingkat bermula tahun 2019 hingga tahun 2020.
Dalam usaha menyokong pelaksanaan program tersebut, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) telah menganjurkan aktiviti bersifat insaniah bersama 36 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah (SKTB) pada 24 Oktober 2019. Program yang dilaksanakan oleh Perpustakaan UniSZA dengan kerjasama Pusat Alumni, Keusahawanan dan Jaringan Masyarakat (PAKAT) antara usaha murni yang mampu merealisasikan inisiatif tersebut.
Pelbagai aktiviti menarik telah diatur, antaranya Pertandingan Deklamasi Puisi oleh Sasterawan Cilik di UniSZA, Pertandingan ‘Jigsaw Puzzle’ Sultan Zainal Abidin III dan Pertandingan ‘Music Box’ Kenali Sultan Zainal Abidin III.
Menurut Pengerusi Program “Sekolahku Universitiku”, Encik Mohd Sabri Muda, usaha itu dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk menimba pelbagai ilmu pengetahuan yang berbeza di luar bilik darjah dan kawasan sekolah. Selain itu, aktiviti yang dijalankan dalam program pada hari ini juga secara tidak langsung turut menyokong inisiatif kementerian terhadap kempen membaca iaitu Kempen Dekad Membaca Kebangsaan dan Read@Uni.
Beliau menambah, aktiviti itu juga bertujuan menggalakkan literasi awal dalam membaca dan menulis oleh para pelajar, mendedahkan mereka mengenai pengetahuan berkaitan sejarah Kesultanan Terengganu dan mengenali tokoh Sasterawan Negara.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Pengarah PAKAT, Encik Wan Ismail Wan Abdullah dan Guru Besar SKTB, Encik Suhaimi Muhammad bersama empat orang guru SKTB.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA