PERPUSTAKAAN UNISZA KE ARAH PENSIJILAN ISO 9001:2015
Rintangan pertama bagi Audit ISO 9001:2015- Peringkat 1 yang berlangsung pada 25-26 September 2017 telah dilalui oleh Perpustakaan UniSZA dengan jayanya. Berlangsung di Bilik Mesyuarat Perpustakaan, Kampus Gong Badak, proses audit ini telah dikemudikan oleh wakil dari SIRIM, Puan Siti Rahmah Ahmad. Beliau yang merupakan juru audit merangkap ketua auditor turut sama menghadiri Mesyuarat Pembukaan Audit ISO. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Pustakawan, Puan Rohani Othman. Manakala Puan Faridah Muda selaku Wakil Pengurusan Perpustakaan serta para pustakawan dari ketiga-tiga kampus turut hadir.
Proses pengauditan telah berlangsung dari jam 9.30 pagi sehingga 4.30 petang. Jadual hari pertama Audit ISO dimulakan dengan semakan dokumen kualiti perpustakaan yang meliputi Manual Kualiti Perpustakaan, Dasar dan Objektif Kualiti Perpustakaan, skop pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK), Pengurusan Risiko dan Peluang, Kawalan Dokumen dan Rekod, serta lain-lain dokumen yang terlibat. Hari kedua Audit ISO disambung dengan semakan dokumen Audit Dalaman Perpustakaan dan Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan (MKSP). Antara pihak auditee yang terlibat semasa audit ini berlangsung adalah Wakil Pengurusan Perpustakaan, Pengurus Kualiti Perpustakaan, Puan Nur Asyikin Lut Ahmad, Pustakawan Kanan, Encik Mohd Sabri Muda, Puan Rosnorzaini Rusli, Cik Marlina Jaafar, Puan Nurul Huda Zulkifli, Pustakawan, Puan Noorfadzilah Mokhtar dan Pegawai Teknologi Maklumat, Encik Mohd Khairudin Mohd Yasin.
Ketua Auditor memaklumkan bahawa Audit Peringkat 1 merupakan paper audit dan hanya melibatkan proses semakan dokumen bagi memastikan dokumentasi yang disediakan adalah mengikut standard ISO 9001:2015. Hasil dapatan audit yang dibentangkan semasa Mesyuarat Penutupan Audit ISO mendapati dokumentasi yang dihasilkan mematuhi dan memenuhi keperluan standard. Beliau turut mengumumkan bahawa Perpustakaan UniSZA berjaya untuk melangkah ke proses Audit Peringkat 2. Beliau menambah, pematuhan proses kepada standard ISO 9001:2015 hanya boleh ditentusahkan semasa audit pematuhan dijalankan.
Seluruh warga kerja Perpustakaan UniSZA amat komited dalam memastikan kejayaan perpustakaan untuk mendapat pengiktirafan ISO 9001:2015.Semoga pelaksanaan ISO 9001:2015 dapat memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan perpustakaan yang memberi fokus kepada kehendak dan keperluan pengguna.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA