PERPUSTAKAAN UNISZA DIPILIH JADI TUAN RUMAH BENGKEL LATIHAN PANGKALAN DATA 2018 SCOPUS/SCIVAL (ZON TIMUR)
Penyelidikan dan pengurusan penerbitan bahan ilmiah memainkan peranan penting dalam memastikan hasil penyelidikan yang diterbitkan itu berkualiti dan dapat dikongsi manfaatnya di seluruh dunia. Bagi memastikan objektif tersebut dapat tercapai, Perpustakaan UniSZA telah dipilih sebagai tuan rumah bagi menganjurkan Bengkel Latihan Pangkalan Data 2018 SCOPUS/SCIVAL bagi Zon Timur pada 11 Julai 2018 yang berlangsung di Makmal Komputer Tertutup, Aras 2, Perpustakaan UniSZA.
Bengkel tersebut turut mendapat kerjasama oleh Pusat Sitasi Malaysia (PSM) dan Innowave.
Bengkel yang telah menarik seramai lebih 30 peserta termasuklah para pensyarah dan pelajar ini dikendalikan oleh dua orang fasilitator bertauliah iaitu Cik Ling Yu Lan (Elsevier) dan Encik Razaman Ridzuan (Pusat Sitasi Malaysia). Bengkel ini juga bertujuan memberikan kefahaman secara langsung kepada para pengguna dan pentadbir pangkalan data bagaimana untuk mencari, mengenal pasti, menilai dan mengurus maklumat berkaitan yang diperlukan untuk kajian dan penyelidikan.
Ini juga menepati tanggungjawab perpustakaan dalam memberi bantuan penyelidikan kepada para pengguna yang mempunyai pelbagai latar belakang. Selain itu, program sebegini dapat memberi nilai tambah kepada para peserta memandangkan keperluan pengguna hari ini tidak lagi bergantung kepada sumber bacaan semata-mata.
Bengkel ini membolehkan para peserta mendapat gambaran menyeluruh tentang apa yang akan diperolehi dari sumber-sumber pangkalan data dan cara terbaik untuk mendapatkannya. Sesi yang diberikan oleh tenaga pengajar yang bertauliah ini diharapkan dapat membantu pemahaman para peserta mengenai Scopus dan Scival.
Selain daripada penekanan kepada pangkalan data Scopus dan Scival, sesi mengenai ‘Research Evoluation Metric’ turut dikongsi bersama para peserta.
Pendedahan ini sangat penting dalam usaha memperkemaskan pengetahuan peserta bagi mendepani cabaran persekitaran, meningkatkan kefahaman dan pengetahuan mengenai penyelidikan dan membezakan pelbagai jenis artikel dan platform untuk penerbitan. Selain itu, bengkel ini mampu memantapkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan kaedah penyelidikan khusus kepada para peserta.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA | 11 JULAI 2018