PERPUSTAKAAN UNISZA ‘TURUN PADANG’ KE SMKA DATO’ HAJI ABBAS
Perpustakaan UniSZA hari ini berasa amat bertuah kerana telah dijemput untuk mengadakan Bengkel Pembaikan Bahan di Pusat Sumber, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato’ Haji Abbas (SMKADHA), Kuala Terengganu pagi tadi. Program selama lebih dua jam ini bermula pada pukul 10.00 pagi dan berakhir pukul 12.30 tengahari. Seramai lebih 30 orang pelajar yang merupakan Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) bersama-sama guru pembimbing mereka, Puan Siti Hamedah Md. Sukor terbabit dalam program ini. Mereka telah diberi tunjuk ajar serta penerangan secara terperinci oleh lima orang fasilitator terlibat yang membantu mereka untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan bahan-bahan bacaan di perpustakaan. Bengkel ini diadakan bersempena dengan Kursus Pengawas Pusat Sumber di sekolah tersebut. Dalam bengkel ini juga, para pelajar serta guru diberi peluang untuk melakukan sendiri kerja-kerja pembaikan bahan-bahan perpustakaan.
Secara dasarnya, program ini merupakan suatu usaha berterusan dan kerjasama yang diwujudkan antara warga pendidikan dan Perpustakaan UniSZA bagi memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai kerja-kerja pembaikan bahan-bahan perpustakaan. Selain itu, ia juga bolehlah disifatkan sebagai suatu sumbangan Perpustakaan UniSZA kepada komuniti terutamanya kepada para pelajar sekolah. Dengan bengkel ini, adalah diharapkan agar para pelajar juga dapat mengembangkan minda mereka dan memperolehi ilmu pengetahuan serta kemahiran baru di luar kelas. Ini juga dapat menjadikan mereka untuk berfikiran lebih kreatif dan dapat merasai pengalaman baru yang tidak dapat diperolehi melalui pendidikan secara formal.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR