PERKONGSIAN ILMU MENGENAI “HAK DAN UNDANG-UNDANG PENGGUNA” BUKA MINDA WARGA PERPUSTAKAAN UNISZA
Perkongsian ilmu selama satu jam mengenai “Hak dan Undang-undang Pengguna” telah membuka minda warga Perpustakaan UniSZA. Perkongsian ilmu tersebut yang diadakan di Makmal Komputer Tertutup, Perpustakaan UniSZA pada 24 November 2016 telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Dr. Abdul Majid Tahir Mohamed, Timbalan Dekan (Akademik & Siswazah). Program ini adalah sebahagian pengisian yang dijalankan pada sesi Ceramah Pembangunan Modal Insan.
Melalui sesi tersebut, Dr. Abdul Majid telah berkongsi dengan panjang lebar mengenai beberapa hak pengguna yang perlu diberi perhatian terutamanya cara untuk pengguna membuat tuntutan, jenis tuntutan yang boleh dibuat serta hak-hak pengguna yang jarang diberi perhatian.
Beliau juga turut menekankan tentang peranan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang merupakan suatu saluran alternatif kepada pengguna untuk menuntut gantirugi dan pampasan dengan cara mudah, murah dan cepat. Dengan adanya TTPM ini, pengguna boleh menuntut gantirugi dan pampasan terhadap peniaga atau pembekal yang tidak bertanggungjawab serta tidak beretika.
Banyak sekali kupasan secara komprehensif mengenai topik ini diberikan oleh Dr. Abdul Majid. Beliau juga turut menyeru kepada semua yang hadir supaya dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai hak dan undang-undang pengguna dalam usaha membanteras perbuatan tidak bertanggungjawab oleh peniaga dan pembekal. Selain itu, ia juga perlu untuk melindungi pengguna itu sendiri daripada perkara tersebut.
Terdahulu, sesi perkongsian ilmu mengenai ‘Open Library’ telah disampaikan oleh Encik Idris Jamaluddin.
Turut hadir, Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Hajah Rohani Othman yang telah menyampaikan cenderahati kepada Dr. Abdul Majid Tahir Mohamed.
Program ini berakhir jam 1.00 tengahari.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA