MB TERENGGANU LUANGKAN MASA KUNJUNGI GERAI PERPUSTAKAAN UNISZA
Perpustakaan UniSZA berbesar hati menerima kunjungan Dato’ Seri Haji Ahmad Razif bin Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu ke gerai Perpustakaan UniSZA sempena Karnival UniSZA Universiti Komuniti, 7 Mei lalu. Karnival ini turut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk Fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTj) di UniSZA yang membuka gerai masing-masing di tapak karnival tersebut. Beliau yang hadir merasmikan Majlis Pelancaran UniSZA Universiti Komuniti pada hari tersebut kemudiannya turun padang melawat pelbagai gerai di tapak karnival. Selain itu, beliau turut meluangkan masa untuk beramah mesra dengan beberapa orang staf Perpustakaan UniSZA serta Ketua Pustakawan, Perpustakaan UniSZA, Puan Rohani Othman di gerai tersebut. Pelbagai aktiviti juga dijalankan di gerai Perpustakaan UniSZA. Antaranya, Pertandingan “Match Me”, Pertandingan Trivia dan juga pameran. Karnival ini berlangsung pada 7 hingga 9 Mei yang lalu di UniSZA, Kampus Gong Badak.
Karnival UniSZA Universiti Komuniti ini merupakan program yang diadakan bagi mempromosi kepakaran universiti kepada masyarakat luar. Selain itu, ia dapat mewujudkan rangkaian kerjasama erat di antara komuniti dengan institusi pengajian tinggi, di samping mengukuhkan hubungan kerjasama agensi berkaitan bagi mencapai matlamat pembangunan negara. Ia juga sebagai suatu medium bagi menggalakkan mahasiswa mengadakan hubungan dan kerjasama dengan masyarakat luar sama ada industri mahupun komuniti setempat serta dapat membuka minda mahasiswa ke arah bidang-bidang lain khususnya keusahawanan selain daripada akademik semata-mata.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR