KESEPUNYAAN DAN KESERAKANAN: PERPUSTAKAAN UNISZA, PSNZ UMT ANJUR BENGKEL PERKONGSIAN ILMU DAN KEPAKARAN UNISZA-UMT
Pendekatan ‘Kesepunyaan dan Keserakanan’ (Commonality & Collegiality) yang digalakkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) telah menemukan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang secara bersama menganjurkan sesi perkongsian ilmu dan kepakaran UniSZA – UMT.
Bengkel Perkongsian Ilmu dan Kepakaran UniSZA-UMT: Bantuan Sokongan Penyelidikan berlangsung pada 22 Ogos 2017 dan telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan, UniSZA, Puan Hajah Faridah Muda. Bengkel yang diadakan di Makmal Komputer Tertutup, Perpustakaan UniSZA ini dihadiri oleh 24 orang pustakawan UniSZA dan UMT.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menyarankan agar pustakawan sentiasa peka dengan keperluan pengguna masa kini yang banyak mengaplikasikan penggunaan teknologi. Pustakawan juga perlu sentiasa bersedia untuk ‘bersaing’ dengan pengguna generasi muda kini yang ‘obses’ dengan teknologi.
“Pustakawan harus peka dengan penggunaan teknologi dan mampu mengaplikasikan teknologi secara optimum. Ini juga salah satu faktor yang akan meletakkan pustakawan masih relevan dengan keperluan semasa dan mempunyai peranan serta sumbangan penting kepada masyarakat khususnya dalam pembangunan akademik dan penyelidikan,” katanya.
Sesi bengkel telah dikendalikan oleh dua fasilitator, iaitu Encik Syaiful Hisyam Saleh (UniSZA) dan Puan Harisom Anida Musa (UMT). Kedua-dua fasilitator merupakan pustakawan di institusi akademik masing-masing.
Bengkel ini dapat membantu dalam memperkemaskan pengetahuan pustakawan dengan cabaran persekitaran latihan, meningkatkan kemahiran penyampaian dan pengendalian latihan yang berkesan, memberi pendedahan kepada pengurusan data penerbitan universiti, mendapat kefahaman mengenai jurnal yang terindeks, faktor berimpak, indeks petikan dan h-index serta berkongsi pengalaman dan amalan terbaik Perpustakaan UniSZA-UMT semasa menguruskan perkhidmatan bantuan sokongan penyelidikan.
Turut hadir pada bengkel ini ialah Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT, Encik Atip bin Ali.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA