JAULAH KE PERPUSTAKAAN UNISZA
Memetik kata-kata seorang cendekiawan yang pernah mengatakan bahawa “ilmu itu perlu didatangi, tetapi ia tidak mendatangi”. Maka atas dasar inilah, seramai 73 orang pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) bersama 8 orang guru mengunjungi Perpustakaan UniSZA pada 15 hingga 16 April ini sempena Program Jaulah ke Perpustakaan UniSZA. Program ini diadakan adalah untuk membolehkan para pelajar membuat pencarian bahan-bahan rujukan kerja kursus bagi mata pelajaran Adab Nusus dan Balaghah untuk Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Perpustakaan UniSZA amat mengalu-alukan kedatangan semua pelajar dan guru SMAASZA sempena program ini. Selain daripada membuat rujukan, taklimat ringkas juga diberikan kepada para pelajar dan guru mengenai Perpustakaan UniSZA. Ini bukan sahaja dapat membantu mereka membuat rujukan dan pencarian bahan-bahan, tetapi juga dapat memberi pendedahan khusus kepada mereka tentang kemudahan serta fasiliti yang disediakan kepada mereka sepanjang berada di perpustakaan.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR