JAUHI PERKARA-PERKARA MUFLIS AKHIRAT
ISNIN, 28 OKTOBER 2019
"Untuk berjaya di akhirat, kita mesti mengelakkan dan menjauhi perkara-perkara yang menyebabkan kita muflis akhirat, iaitu mengumpat, fitnah dan berburuk sangka,". Demikian menurut kata Pegawai Hal Ehwal Islam UniSZA, Ustaz Wan Fajrulhisham Wan Abdullah, ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kerjaya Berkat, Hindari Muflis Akhirat’ di Perpustakaan UniSZA. Sesi ceramah tersebut bersempena program Ceramah Pembangunan Modal Insan yang diadakan pada 22 Oktober 2019 di Perpustakaan UniSZA.
Menurut beliau lagi, ini bertepatan dengan syariat Islam sebagai agama yang syumul dan menjaga hubungan sesama muslim. Tambah beliau, perkara-perkara seperti mengumpat adalah suatu sifat buruk yang dibenci dalam Islam seperti firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 12 yang bermaksud;
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua warga Perpustakaan UniSZA agar sentiasa menjaga keberkatan dalam pekerjaan kerana kerja yang berkat itu adalah kerja yang mendapat restu dan rahmat Allah. Kerja yang berkat itu juga akan menjadikan kita tenang selain mendapat kesejahteraan dalam hidup.
“Sebagai seorang muslim, kita hendaklah menjaga keberkatan dalam mencari rezeki. Kerja yang tidak berkat itu tidak akan mempunyai nilai di sisi Allah walaupun kita berjaya laksanakan dengan berjaya,” katanya.
Sesi perkongsian ilmu selama satu jam itu turut dihadiri Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Fungsi), Puan Norulhuda Makhtar.
Usai sesi perkongsian tersebut, Penolong Ketua Pustakawan, Encik Mohd Sabri Muda menyampaikan cenderahati kepada penceramah jemputan.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA