HARI PUSTAKAWAN KEBANGSAAN SETIAP 6 JUN
Sebagai penghormatan kepada semua pustakawan di negara ini, tarikh 6 Jun kini diisytihar sebagai Hari Pustakawan peringkat kebangsaan. Ini juga bagi mengiktiraf peranan pustakawan dalam usaha menyuburkan keilmuan dalam kalangan masyarakat. Profesion pustakawan sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru, namun kerjaya ini semakin berkembang seiring dengan perkembangan serta kemajuan bidang sains maklumat kini.
Dahulunya, pustakawan merupakan seseorang yang membantu para pengguna membuat pencarian bahan seperti buku, majalah, dan informasi lain. Namun, apabila bidang maklumat mengalami revolusi sekitar tahun 2000, profesion pustakawan juga mula mengalami transformasi dan anjakan paradigma tersendiri yang mana kini bidang perkhidmatan maklumat sudah semakin meluas, dan tidak hanya terhad kepada bahan-bahan rujukan di atas rak semata-mata, tetapi juga meliputi pelbagai jenis informasi menggunakan pelbagai media terutamanya sumber-sumber atas talian dan juga melalui internet.
Kerjaya sebagai pustakawan bukanlah hanya sekadar duduk di kaunter, dan menghadap buku, atau hanya menyusun bahan-bahan di celah-celah rak, tetapi pustakawan kini telah menjadi suatu profesion yang penting, terutamanya dalam bidang akademik. Ini kerana bahan-bahan rujukan dan sumber maklumat amat berkait rapat dengan pustakawan. Kerjaya ini walaupun dipandang enteng oleh sebahagian masyarakat, namun pada hakikatnya, pustakawan memainkan peranan besar dalam membudayakan serta menyemai budaya kelimuan di dalam kelompok masyarakat Malaysia yang berbeza bangsa, agama dan budaya ini. Apatah lagi, ditambah dengan kepesatan maklumat yang semakin berkembang, pustakawan perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu serta kemahiran yang diperlukan bagi menyaingi perkembangan bidang sains maklumat.
Sempena Hari Pustakawan ini, seluruh warga Perpustakaan UniSZA mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Pustakawan kepada semua pustakawan di seluruh Negara. Diharapkan agar Hari Pustakawan ini mampu menjadi penanda aras serta pemangkin kepada semua pustakawan untuk terus memajukan profesion kita dan meletakkannya sebaris dengan profesion lain.
Memetik bait puisi seorang novelis, yang menulis, “Di celah rak buku, pustakawan itu mengutip sabar. Dia menyusun kembali ilmu yang berselerak di lantai dan meja. Dia melihat debu berterbangan tanpa arah. Debu itu adalah kemalasan dan dengki, seperti mana lelaki yang sengaja mematah telunjuk fikir kekasihnya.” Selamat Hari Pustakawan 2015!
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR