DESTINASI CINTA, KEPADAMU KEKASIH MENYELAMI ERTI CINTA
Berkonsepkan cinta, Perpustakaan UniSZA ingin mengajak semua warga UniSZA menyelami dan menghayati pengertian cinta sejati sempena pameran Destinasi Cinta, KepadaMu Kekasih yang berlangsung di Atrium Perpustakaan UniSZA.
Pameran ini membawa minda kita untuk mendalami serta mencari erti cinta yang sebenar. Takrifan cinta sering disalah tafsir oleh masyarakat terutama sekali remaja menyebabkan pelbagai masalah sosial semakin meruncing di negara kita. Tema pameran ini amat bertepatan dengan cabaran arus perdana yang perlu ditangani pada masa kini apatah lagi melibatkan persoalan akhlak dan moral.
Objektif pameran ini untuk memberi kesedaran kepada warga UniSZA khususnya remaja supaya tidak terjebak dengan pelbagai gejala tidak sihat dan sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan kerana cinta kepada Tuhan itu adalah yang paling utama, seperti petikan kata Habiburrahman El-Shirazi;
“Bagi orang-orang yang beriman, di mana pun ia bisa rukuk dan sujud kepada Allah, maka ia menemukan bumi cinta. Dan sesungguhnya dunia ini adalah bumi cinta bagi para pecinta Allah Ta'alla. Bumi cinta yang akan mengantarkan kepada bumi cinta yang lebih abadi dan lebih mulia yaitu surganya Allah. Cinta yang paling membahagiakan dan menyembuhkan adalah cinta kepada Allah.”
Turut dikongsi bersama adalah mengenai cinta terlarang, fenomena cinta di kampus serta pengertian ikhtilat.
Pameran ini adalah hasil kreativiti empat pelajar latihan industri iaitu Mohd Fitri Badruesham, Mohd Shazwan Sarif, Hanis Zawani Mobidin dan Tengku Nur Putri Khairunisa Tengku Zainul Muluk.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA