‘GEROBOK JARIAH’ DAN ‘AL-LUQOTOH’ PERPUSTAKAAN TARIK PERHATIAN DELEGASI PANEL PENILAI PEMATUHAN SAGA
UniSZA telah menerima kunjungan panel penilai bagi Sesi Penilaian Pematuhan SAGA Sistem Perakaunan dan Kewangan pada 2 Mac 2017 yang lalu. Delegasi terdiri daripada lapan panel penilai diketuai oleh Puan Rihatun Abddah Meor Zainal Abidin, yang merupakan Pengarah, Bahagian Khidmat Perunding, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM). Selain wakil-wakil daripada JANM, panel penilai ini juga terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Di kesempatan ini, delegasi mengambil peluang membuat kunjungan ke Perpustakaan bagi melihat perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Perpustakaan kepada penggunanya.
Dalam kunjungan ini, ‘Gerobok Jariah’ telah menarik minat para delegasi. ‘Gerobok Jariah’ merupakan suatu usaha murni seluruh warga UniSZA dalam membantu golongan pelajar yang memerlukan kepada sumbangan makanan yang diuruskan oleh Perpustakaan UniSZA sejak 2016 lagi. Usaha ini juga mendapat perhatian badan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Sukarelawan Asas Sejahtera (ASAS) dan juga masyarakat sekeliling yang turut tampil menghulurkan sumbangan sebagai tanda sokongan.
Delegasi ini juga teruja melihat sistem ‘Al-Luqotoh’ yang merupakan sistem patuh syariah bagi pengurusan barang tinggalan oleh pengguna perpustakaan. Sistem tersebut dibangunkan oleh kumpulan i-CON PHILOLIB merupakan Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Perpustakaan UniSZA yang berjaya menerima penarafan emas dalam beberapa penyertaan di Konvensyen KIK pada tahun 2016. Sistem ini banyak menyelesaikan isu barangan yang ditinggalkan di Perpustakaan. Perkhidmatan patuh syariah ini belum disediakan oleh mana-mana perpustakaan lain setakat ini.
Turut mengiringi bersama ialah Bendahari UniSZA, Prof. Madya Ariza Ibrahim, Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Rohani Othman, dan pegawai-pegawai kanan UniSZA.
BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA