Teruskan belajar Bahasa Arab kerana Bahasa Arab Bahasa Al-Quran
Sebagai meneruskan saranan menuntut ilmu dan menambah kemahiran, Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB), UniSZA merealisasikan hasrat tersebut dengan mengadakan Sesi Latihan Training of Trainers (TOT) Bahan Arab Berasaskan Kepada Piawaian Resource Description Access (RDA) pada 23 hingga 24 November 2021. Sesi dua hari tersebut dijalankan secara atas talian melibatkan seramai 30 orang peserta.
Umum mengetahui bahawa PWB UniSZA mempunyai koleksi rujukan berbahasa Arab yang besar dan sesetengahnya tiada di perpustakaan lain. Bengkel ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada peserta yang rata-rata staf PWB mengenai pengkatalogan bahan-bahan rujukan berbahasa Arab.
Banyak kemahiran serta ilmu baharu yang telah dikongsikan oleh penceramah jemputan, iaitu Puan Shuhana binti Ismail. Beliau merupakan Pustakawan di Bahagian Pengkatalogan/Pengkelasan, Sirkulasi dan Media di Perpustakaan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Perak.
Dalam sesi tersebut, Puan Shuhana banyak menekankan tentang pentingnya kita sebagai umat Islam menguasai bahasa Arab kerana bahasa Arab merupakan Bahasa Al-Quran. Menurutnya, kalau bukan kita yang belajar bahasa ini, maka tiada siapa yang akan mengangkatnya sebagai bahasa yang agung.
“Sebagai orang Islam, kita perlu menanam minat dan azam yang berterusan untuk mempelajari bahasa Arab. Ini juga sebagai usaha kita untuk mempelajari Al-Quran. Saya akui bukanlah suatu yang mudah, namun bukan susah juga untuk kita mulakan langkah pertama sekiranya kita ada kemahuan,” katanya.
Beliau juga banyak memberikan pelbagai tips dan cadangan dalam meningkatkan ilmu serta kemahiran dalam bidang pengkatalogan bahan-bahan perpustakaan. Pengkatalogan ialah satu proses dalam menguruskan bahan-bahan perpustakaan. Pengkatalogan juga salah satu elemen yang penting untuk mengorganisasikan bahan-bahan mengikut bidang, subjek, perkara dan topik. Sistem pengkatalogan dan pengelasan yang baik dan mudah difahami dapat membantu pengguna dalam mencari bahan atau menyimpan bahan dengan mudah dan cepat.
25 NOVEMBER 2021
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA