WARGA PERPUSTAKAAN BERPERANAN PENTING DALAM SOKONGAN PENYELIDIKAN
Penyelidikan merupakan suatu medium untuk membolehkan para penyelidik menzahirkan dan mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran. Justeru, penyelidikan kini memainkan peranan penting dalam memacu institusi kelimuan ke peringkat lebih tinggi selain dapat berkongsi segala kepakaran dalam pelbagai bidang dengan institusi-institusi lain.
Sebagai sebahagian daripada warga institusi akademik, peranan yang dimainkan oleh warga perpustakaan amat besar dalam membantu para penyelidik menjalankan pelbagai kajian mereka dengan baik. Apatah lagi, dengan adanya sokongan penyelidikan ini memastikan para penyelidik dapat bergiat dengan lebih aktif supaya segala hasil penyelidikan dapat disebar luas melalui pelbagai medium.
Itu antara pendapat yang dilontarkan oleh Encik Mohd Ikhwan Ismail, penceramah jemputan pada sesi Training of Trainers (ToT): Supporting Researchers With Research Tools and Information Literacy yang berlangsung pada 12 hingga 14 September 2021. Sesi ini diadakan secara atas talian melibatkan 45 orang peserta yang merupakan warga Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB), UniSZA.
Sesi yang diadakan selama tiga hari ini menumpukan kepada pelbagai aspek berkaitan penyelidikan serta bagaimana warga perpustakaan dapat memainkan peranan oleh warga PWB dalam membantu penyelidikan dan pembangunan di dalam institusi akademik.
Encik Mohd Ikhwan turut menyarankan kepada semua warga PWB agar sama-sama melibatkan diri dalam membantu para penyelidik dan mengubah cara kita berfikir kerana perpustakaan mempunyai tanggungjawab yang penting dalam bidang penyelidikan.
“Kita yang bekerja di perpustakaan harus sentiasa menambah ilmu dan kemahiran yang ada supaya seiring dengan keperluan semasa. Apatah lagi, situasi semasa kini memerlukan mereka yang bekerja dalam bidang kepustakawanan ini amat dekat dengan pengurusan sumber dan maklumat. Kita juga perlu mengubah cara kita bekerja di mana kini kita perlu mengikut arus perdana yang begitu cepat dan pantas. Ini amat berbeza dengan situasi dahulu di mana kita lebih banyak menguruskan bahan-bahan rujukan fizikal,” ujarnya ketika mengendalikan sesi tersebut.
Sesi tersebut turut menyentuh pelbagai aspek penting dalam sokongan penyelidikan termasuklah Literature Search Strategies, Information Literacy and Research Support, Journal Quality Evaluation and Author’s Scholarly Output and Performance Evaluation.
Encik Mohd Ikhwan Ismail juga merupakan Pustakawan Kanan di Universiti Sains Malaysia.
15 SEPTEMBER 2021
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA