Print

Pelajar, Warga Akademik dan Pentabir meriahkan ‘Jom Baca Bersama 10 Minit’ di PWB

Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB) menyambut Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia 2021, dengan menganjurkan program, ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ pada 22 April 2021 sebagai tanda sokongan sambutan hari tersebut.

Pada program kali ini yang dijalankan selama 10 minit bermula pada jam 11.00 – 11.10 pagi tadi,  mencatatkan penyertaan daripada pelbagai peringkat, membabitkan staf pentadbiran, pensyarah dan pelajar-pelajar UniSZA yang sama- sama memeriahkan program sambutan tersebut.

Bagi program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’, mereka digalakkan untuk membaca dalam tempoh 10 minit, bermula tepat pada jam 11.00 pagi, tidak kira di mana mereka berada dengan membaca bahan-bahan bacaan yang bersesuaian. Program ini turut melibatkan bukan sahaja mereka yang berada di PWB, Kampus Gong Badak malahan turut membabitkan Kampus Perubatan dan Kampus Besut. 

Pada tahun 2021 ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila bersiaran secara langsung di laman ‘facebook’ melibatkan 20 buah Universiti Awam (UA) yang berkolaborasi bagi menjayakan program ini.

Program ini dianjurkan bertujuan untuk menyemai dan menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia di samping memperingati sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Tahun 2021. Malahan, ia juga merupakan suatu usaha untuk membuka mata masyarakat dalam mewujudkan kesedaran mereka mengenai dunia membaca, dunia penerbitan buku, sehinggalah kepada hak cipta.

Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia juga mampu menjadi momen menarik untuk mengajak masyarakat supaya lebih mengenali karya–karya atau bahan bacaan yang menarik.

Ia juga bertujuan memartabatkan kedudukan buku sebagai sumber pengetahuan utama di dunia. Umum sudah maklum bahawa di dasawarsa ini, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini semakin menjadi keutamaan dalam kalangan masyarakat, tetapi buku yang menjadi wadah untuk membina peradaban dunia tetap kekal dan tidak berubah, sekalipun dunia kian taksub dengan kewujudan gajet dan media hiburan berbentuk elektronik.

Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia adalah resolusi daripada persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 Nov 1995 yang mengisytiharkan 23 April sebagai Hari Buku.

 

22 APRIL 2021

 PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

                         RELATED LINKS 
 

 

 

                 CONTACT US
           
Open source productions