Print

Pengisian rohani beri suntikan semangat untuk jalani Ramadan di musim PKPP


Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB) menyambut kehadiran ambang Ramadan al-Mubarak pada tahun ini dengan mengadakan pengisian rohani Ceramah  Pembangunan Modal Insan pada 12 April 2021 bertempat di Makmal Komputer Tertutup, PWB.

Seramai lebih 30 orang warga PWB menjayakan program kerohanian tersebut dengan pengisian disampaikan oleh Pengarah Kolej Kediaman dan Kesihatan Pelajar, UniSZA, Prof. Madya Dr. Mohd. Shafiee bin Hamzah.

Dalam pengisian tersebut, Prof. Madya Dr. Mohd. Shafiee menekankan tentang perlunya kita berlumba-lumba mengisi bulan Ramadan yang penuh barakah ini dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Selain itu, kita juga harus bijak merebut kesempatan yang diberikan Allah kepada umat Nabi Muhammad dalam bulan mulai ini. Apatah lagi, Allah menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda dalam bulan istimewa ini terutama sekali malam Lailatul Qadar atau Malam Seribu Bulan.

Menurut beliau juga, sebagai umat Islam, kita perlu meletakkan sasaran pada bulan ini supaya dapat menjadi suatu KPI atau Petunjuk Prestasi Utama sebagaimana sasaran kita dalam bekerja.

“Sebagaimana kita ada sasaran dalam bekerja, begitu juga kita perlu menyasarkan yang terbaik dalam bulan Ramadan. Ramadan hanya datang 30 hari setahun, maka kita harus berikan yang terbaik dalam mencapai sasaran kita itu. Selain itu, Ramadan ini juga merupakan bulan tarbiah untuk mencapai matlamat kita menjadi insan yang bertakwa di sisi Allah.

“Selepas meletakkan sasaran, kita perlu juga konsisten atau istiqamah dalam memastikan sasaran tersebut dapat dicapai. Allah memberi kita peluang selama 30 hari untuk ‘tamak’ kepada pahala, maka sebagai hamba, sama-samalah kita berebut kepada ganjaran yang Allah berikan kepada kita dalam bulan ini,” katanya.

Beliau meluangkan masa lebih sejam bagi sesi perkongsian ilmu tersebut. Turuh hadir, Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Fungsi), Puan Norulhuda binti Makhtar.

 

 12 APRIL 2021

  PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

 

                         RELATED LINKS 
 

 

 

 

 
                 CONTACT US
           
Open source productions