Print

PWB ADAPTASI MEDIUM BAHARU PROGRAM PENDIDIKAN PENGGUNA LITERASI MAKLUMAT SEPANJANG PKPP

Situasi pandemik Covid-19 telah menjadikan pendidikan negara mengalami anjakan paradigma dalam norma baharu yang telah mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran tersebut. Apatah lagi, negara kini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sekalipun perubahan berlaku, ini sekali-kali tidak menjejaskan proses perkembangan dan penyebaran ilmu dalam kalangan warga pengajian tinggi.

Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB) mengaplikasikan penggunaan internet dan aplikasi atas talian dalam usaha membantu  para pelajar untuk memberi pendedahan dan menggunakan kemudahan perpustakaan. Program Pendidikan Pengguna Literasi Maklumat yang dijalankan melalui atas talian tersebut mampu memberi ilmu, kemahiran serta panduan berguna kepada pelajar supaya mereka mendapat informasi pelbagai sumber dan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan. Walaupun  kuliah program masing-masing dijalankan melalui atas talian, mereka masih dapat mengakses segala maklumat yang diperlukan dengan mudah, cepat dan berkesan tanpa perlu berada dalam perpustakaan.

Ini juga merupakan usaha berterusan PWB bagi memastikan semua pelajar UniSZA khususnya tidak ketinggalan untuk menggunakan kemudahan yang ada dalam PWB sekalipun berada dalam situasi pandemik yang meruncing kini.

Program atas talian tersebut yang sebelum ini dijalankan secara bersemuka telah mendapat respons positif daripada para pelajar yang terlibat. Program yang bermula pada 1 November 2020 itu diadakan secara berterusan untuk membolehkan para pelajar mendapat pelbagai informasi yang tepat mengenai perpustakaan.

Program ini telah dikendalikan bersama oleh Puan Aina Kartini Mohamed Saleh, Puan Norhazura Yunus, Cik Nur Solehah Izzat Ullah Sheikh, Encik Zawari Zainon, Encik Muhamad Baharin Gani dan Tengku Nur Najiah Tengku Dzulkifli. 

 

1 November 2020 

PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

                         RELATED LINKS 
 

 

 

                 CONTACT US
           
Open source productions