Cetak

AMALAN YANG PALING BAIK ADALAH BIARPUN SEDIKIT, TETAPI ISTIQAMAH

Daripada Aisyah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Taala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”

Itulah antara petikan hadis yang dikongsi oleh Prof. Madya Dr. Zulazhan bin Ab. Halim, pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UniSZA pada sesi Ceramah Pembangunan Modal Insan bersama warga Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB). Sesi perkongsian selama satu jam itu berlangsung secara dalam talian pada 20 Mei 2020.

Pada sesi kali ini, Prof. Madya Dr. Zulazhan yang mengupas tajuk “Sempurnakah Ramadanku”, turut berkongsi tentang amalan-amalan yang sangat dituntut di bulan penuh barakah ini. Beliau juga menyeru supaya kita melakukan amalan ini secara istiqamah atau berterusan.

Misalnya, sekiranya kita membaca Al-Quran walaupun satu muka surat pada setiap hari dengan berterusan, amalan itu adalah lebih baik daripada kita membaca Al-Quran sebanyak satu juzuk tetapi hanya sepanjang bulan Ramadan.

“Kalau kita nak buat sesuatu perkara baik, kena sentiasa istiqamah. Rasulullah SAW sentiasa mengajak kita untuk berbuat kebaikan. Walaupun mungkin sedikit atau nilainya kecil. Kalau kita baca Al-Quran, walaupun satu muka surat setiap hari, itu sebenarnya lebih baik daripada kita membaca satu juzuk tetapi hanya pada bulan Ramadan”, katanya.

            Beliau turut menjelaskan, bulan Ramadan ini adalah bulan untuk mentarbiah dan mendidik kita supaya menjadi umat Islam yang lebih baik dan bertaqwa. Antara amalan lain yang dituntut dalam bulan Ramadan ini adalah bersedekah, menyambung silaturrahim sesama manusia serta sentiasa mendoakan orang lain.

 

 

Mei 21, 2020

PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

Open source productions