Print

Peranan PWB di musim PKP

Visi PWB adalah menjadi sebuah pusat maklumat akademik yang unggul berasaskan teknologi dan misi PWB pula adalah untuk menyediakan maklumat serta kemudahan terkini bagi menyokong proses pengajaran, pembelajaran dan pembangunan penyelidikan untuk kecemerlangan akademik. Namun sejauh manakah PWB dapat merealisasikan visi dan misi ini berjalan seiring apabila kerajaan mengumumkan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)?

Rentetan daripada penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan, semua perkhidmatan perlu ditutup kecuali perkhidmatan perlu sahaja yang dibenarkan beroperasi. Sehubungan dengan itu, maka operasi PWB juga turut terlibat. Pada waktu genting beginilah, peranan semua pustakawan amat diperlukan dalam memastikan PWB terus dapat beroperasi walaupun hanya dalam talian.  PKP bukanlah musim untuk bercuti dan bersenang lenang di rumah. Tugasan tetap perlu dilaksanakan walaupun menghadapi pelbagai kekangan dan dugaan bagi menjalankan kerja dari rumah. 

Memandangkan UniSZA sendiri mempunyai platform e-pembelajaran, maka sudah tentulah para pelajar memerlukan bahan untuk dirujuk. Jika sebelum PKP, sudah pasti perpustakaan menjadi tempat utama mereka untuk menelaah, berbincang dan yang paling utama sebagai tempat dapatan bahan rujukan.

Sumber elektronik

Untuk itu, apabila PKP diumumkan kami para pustakawan terus memikirkan solusi bagi membantu pengguna yang pastinya amat memerlukan perkhidmatan kami nanti. Langkah pertama yang kami lakukan adalah dengan memastikan semua sumber elektronik dapat berfungsi dengan baik. Di sinilah kerjasama para pustakawan amat diperlukan. Tidak kira bahagian atau unit, kami saling membantu memastikan setiap judul yang ada dapat diakses. Mana yang bermasalah, cuba diselesaikan dengan segera. Hikmah PKP, kami saling bergandingan menyelesaikan masalah demi menyediakan akses yang terbaik buat para pengguna kami. Tiada alasan lagi untuk tidak menyiapkan tugasan, kerana di PWB telah tersedia segala maklumat yang boleh diakses 24/7. Buku elektronik, jurnal elektronik dan pangkalan data antara pilihan yang boleh digunakan di musim PKP ini. Duduk di rumah dan layarilah sumber elektronik yang telah disediakan.

Poster

Jika ada bahan namun tiada yang mengetahuinya pun tak guna juga. Lantas, sekali lagi dengan kekangan yang ada, kami kerahkan idea dan cuba menyediakan poster bagi promosi setiap sumber elektronik dan perkhidmatan yang kami tawarkan. Pelbagai poster dihasilkan oleh para pustakawan. Dengan kemahiran yang terhad, akhirnya kami mampu juga menghasilkannya untuk kesedaran dan makluman para pengguna kami. Kami berharap poster yang kami hasilkan ini mampu menarik pengguna kami dan mampu menyampaikan sesuatu yang berguna kepada mereka. Jika sebelum ini, poster akan disediakan oleh staf yang memang berkemahiran, tetapi di musim PKP ini kami terpaksa turun padang. Ini akan menjadi kenangan yang terindah buat kami. 

Web Mini Perpustakaan (Digital Library)

Apabila menyedari portal perpustakaan mempunyai terlalu banyak maklumat, Bahagian Pengurusan Perkhidmatan (BPP) telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan web mini perpustakaan yang baharu agar pengguna boleh terus mengakses maklumat tanpa perlu memikirkan kepelbagaian maklumat lain yang ada di dalam portal sedia ada. Web mini ini lebih fokus kepada sumber elektronik yang boleh dicapai oleh pengguna. Mereka boleh terus melayarinya dengan mudah. Video tutorial dan panduanjuga turut disediakan agar pengguna yang pertama kali mencubanya tidak terkial-kial dalam melayari kemudahan yang disediakan.

Sumber Maklumat Terbuka (Open Access Resources)

Pada masa kita menghadapi kesukaran ini, pihak penerbit juga turut sama membantu dengan menyediakan pelbagai sumber elektronik secara open access. Malahan maklumat mengenai Covid-19 juga turut disediakan. Sebagai contoh, Emerald Publishing, ProQuest, Ebscohost dan Wiley antara penerbit yang begitu giat memberikan akses percuma kepada pangkalan data mereka serta kepelbagaian artikel mengenai Covid-19 turut boleh diakses dengan mudah oleh para pengguna. Semua kemudahan maklumat ini boleh dicapai melalui web mini perpustakaan untuk diakses bersama.

Perkhidmatan Rundingan Atas Talian

Tidak berhenti di situ sahaja, kami pustakawan mencari lagi idea lain yang boleh memudahkan para pengguna untuk menghubungi kami. Maka timbullah pula idea Perkhidmatan Rundingan Atas Talian yang mana pengguna boleh bertanya kepada pustakawan secara live chat. Tugasan diberikan secara bergilir-gilir mengikut waktu yang ditetapkan. Namun, kami tidak menghadkan masa kerana para pengguna masih lagi boleh menghubungi kami melalui WhatApps di mana-mana nombor yang telah dihebahkan di FB rasmi PWB dan portal. Apa yang kami harapkan, para pengguna faham jika kami tidak menjawab secara on time, kerana kami juga terikat dengan anak-anak yang masih kecil di rumah.  Salah satu cabaran yang perlu kami hadapi apabila bekerja dari rumah. Mencabar, namun terselit jua keseronokan di situ.

Semoga usaha kecil kami ini mampu membantu dan memudahkan para pengguna kami belajar di musim PKP ini. Diharapkan pandemik ini akan berakhir tidak lama lagi. Semoga kita dapat bersua kembali dan berkumpul semula di PWB buat sekian kalinya.

 

April 29, 2020

PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

Diari Pustakawan Bil.3: Khalid, S

                 CONTACT US
           
Open source productions