Print

Biografi Sultan Zainal Abidin III, tarikan terbaharu Perpustakaan UniSZA

ISNIN, 25 NOVEMBER 2019

                                                                          

Nama Sultan Zainal Abidin III bukan suatu nama asing di bumi Terengganu Darul Iman ini. Masyhur namanya, seindah akhlaknya. Baginda Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan Terengganu kesebelas yang memerintah Terengganu Darul Iman dan segala jajahan takluknya pada tahun 1881 hingga 1918. Baginda digelar “Sultan Regu Ulama” kerana keakraban baginda dengan ulama-ulama Terengganu ketika itu, khususnya Syeikhul Ulama Terengganu, Syed Abdul Rahman Bin Syed Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh.

           

Misbaha (1992) pernah menyebut dalam karyanya, ‘Sejarah Darul Iman’, baginda diakui sebagai sultan yang alim dan bersifat kasih mesra terhadap sekalian rakyat. Setelah ayahanda baginda, Sultan Ahmad II mangkat, baginda ditabalkan menjadi sultan pada 27 Muharram 1299 bersamaan 19 Disember 1880. Semasa itu, baginda berusia kira-kira 16 tahun. Baginda mendapat sokongan kuat daripada Menteri Besar ketika itu iaitu Engku Besar Paduka Diraja (Syed Abdullah Bin Syed Muhammad). Ini disebabkan walaupun baginda masih muda, ilmu pengetahuan dan kebolehan baginda meyakinkan keluarga diraja untuk menyerahkan takhta pemerintahan kepada baginda.

Kisah di atas adalah antara cerita-cerita menarik yang perlu diberi perhatian khususnya oleh rakyat Terengganu dan juga warga Malaysia dalam mengenali dengan lebih dekat Kesultanan Terengganu yang berdaulat. Apatah lagi, ketokohan seorang pemimpin hebat ini, sehinggakan nama baginda juga diabadikan di beberapa buah institusi pendidikan di Terengganu, antaranya Universiti Sultan Zainal Abidin (dahulunya Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA)).


                                                                                

Biografi menarik seorang sultan yang hebat ini kini telah ‘dijelmakan’ di Perpustakaan UniSZA dengan berlangsungnya pameran Sultan Zainal Abidin III bermula November sehingga Disember 2019. Pameran ini juga bersempena dengan Minggu Perpustakaan UniSZA 2019 yang diadakan pada 11 hingga 14 November 2019. 

Menurut Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Tugas), Puan Norulhuda Makhtar, pameran ini diadakan untuk meneguhkan rasa cinta kepada negeri Terengganu dan ini adalah platform terbaik untuk mengetengahkan sejarah pemimpin negeri ini. Objektif utama pameran untuk memberi maklumat meluas tentang ketokohan Sultan Zainal Abdin III.“Tujuan pameran ini diadakan untuk menyampaikan informasi tentang negeri kelahiran baginda, hobi, latar belakang dan pendidikan, sumbangan dan aktiviti bersama rakyat.“Selain itu, ini merupakan suatu usaha bagi menzahirkan legasi baginda Sultan Zainal Abidin III dalam bentuk pameran yang lebih berinformatif sebagai pengetahuan umum.  Ini adalah salah satu inisiatif Perpustakaan UniSZA bagi meningkatkan tahap pembacaan rakyat Malaysia dan menganjurkan aktiviti yang memberi impak tinggi kepada golongan sasar khususnya warga UniSZA,” katanya.

                                                                 

Pelbagai kisah serta informasi menarik mengenai baginda dapat dihayati dan dikongsi dalam pameran ini. Pameran yang  meliputi tiga komponen utama iaitu pengenalan dan biografi, pakaian istiadat pertabalan serta alat-alat kebesaran diraja dipamerkan di Atrium Perpustakaan UniSZA.

                                                           

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                 CONTACT US
           
Open source productions