Print

Program Derma Darah Minggu Perpustakaan 2019 catat 100 penyertaan pelajar, staf

SELASA, 12 NOVEMBER 2019

                                          

Perkhidmatan Tabung Darah Di Malaysia telah dirintis oleh sekumpulan sukarelawan wanita Palang Merah British pada tahun 1955. Kempen Derma Darah juga sering diuar-uarkan di pelbagai saluran media. Berbekalkan sepaket darah yang dari penderma, kita dapat menyatukan manusia sejagat. Inilah sebab paling utama untuk kita menderma darah kerana mengingatkan kita bahawa sesungguhnya kita semua adalah sama. Hakikatnya, kepelbagaian budaya dan perbezaan sosial bukanlah menjadi satu faktor apabila berhadapan dengan kecemasan, terutamanya yang melibatkan rawatan perubatan.

Setiap hari darah diperlukan untuk menyelamatkan nyawa. Darah mungkin diperlukan untuk pembedahan, mangsa kemalangan atau untuk merawat pesakit leukemia, barah, penyakit jantung, penyakit hati dan hemophilia.

Justeru, program Derma Darah yang dianjurkan Perpustakaan UniSZA adalah sinonim dengan tujuan tersebut. Program ini juga antara yang mendapat perhatian di Minggu Perpustakaan 2019. Program dijalankan dengan kerjasama Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

                                         

Selain itu, pengunjung yang datang juga boleh membuat pemeriksaan kesihatan. Program ini berlangsung pada 12 November 2019 bertempat di Atrium Perpustakaan UniSZA.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan oleh para pengunjung. Bagi tujuan ini, sebanyak 100 pendaftaran telah diterima daripada seluruh warga UniSZA. Walau bagaimanapun, mereka yang layak menderma berjumlah 56 orang. Ramai yang tidak dapat menderma disebabkan oleh kadar hemoglobin yang rendah, tidak cukup berat badan yang ditetapkan, tidak sihat tubuh badan serta beberapa faktor lain.

Seawal jam 9 pagi lagi, para penderma yang terdiri daripada seluruh warga UniSZA termasuklah pelajar dan staf UniSZA hadir untuk mendaftar sebagai penderma dengan dibantu oleh beberapa orang staf HSNZ bagi program ini.

                                          

Usaha ini dibuat bagi membantu pihak HSNZ untuk menampung keperluan darah semakin meningkat setiap hari. Ini juga membolehkan kita menyelamatkan nyawa tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

Sebagai penghargaan atas sumbangan yang dihulurkan, penderma juga turut diberikan sijil penghargaan oleh pihak HSNZ.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                 CONTACT US
           
Open source productions