Print

Program Bedah Buku 2.0 bersama Penerbit UniSZA buka tirai Minggu Perpustakaan 2019

ISNIN, 11 NOVEMBER 2019

                                                                                                                    

Antara slot yang mengisi Minggu Perpustakaan 2019 ialah program Bedah Buku 2.0 bersama Penerbit UniSZA. Program ini merupakan pembuka tirai Minggu Perpustakaan 2019 yang berlangsung bermula 11 hingga 14 November 2019.

Bedah Buku 2.0 mengupas isu berkenaan buku yang berjudul ‘Kemajuan Kaedah Hitungan Falak’ oleh pengarangnya, Prof. Madya Dr. Baharuddin Zainal, pensyarah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA. Moderator jemputan bagi program dua jam ini adalah Dr. Hanif Md. Lateh @ Junid, dari Pusat Pengajian Teras, UniSZA.

Pada sesi tersebut, Prof. Madya Dr. Baharuddin Zainal yang juga antara pakar ilmu falak di Malaysia telah mengupas hasil tulisannya mengenai kemajuan kaedah hitungan falak berkaitan hitungan waktu solat, sudut kiblat, penyusunan takwim dan sudut Matahari dalam keadaan tertentu. Sesungguhnya buku ini dapat mencerminkan pencapaian sebenar sains dengan aspek teknikalnya sebagaimana pengamalan ulama alam Melayu pramoden.  

                                             

Dr. Baharuddin juga turut mengambil peluang berkongsi pengalaman beliau dalam menghasilkan buku tersebut. Beliau menjelaskan bahawa buku ini turut memuatkan tulisan beberapa pelajarnya berkaitan dengan ilmu falak. Selain itu, katanya, ini juga sebagai penghargaan dan motivasi kepada para pelajarnya yang telah berusaha menulis tesis dan penerbitan dengan sebaik mungkin.

Tambah beliau, kebanyakkan bab-bab dalam buku tersebut telah dibentangkan di beberapa persidangan yang dihadiri dan telah digarap semula untuk dibukukan.

Dalam pada itu, beliau berasa bertanggungjawab menulis buku ini untuk mengubah persepsi sumbangan ulama alam Melayu dalam kaedah matematik dan teknikal berkaitan aplikasi falak. Buku ini juga diharapkan dapat dijadikan bahan rujukan dalam bidang berkaitan selain berkongsi ilmu bersama masyarakat.

                                             

Selain warga UniSZA, program dimeriahkan dengan penglibatan tujuh buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan Zainal Abidin, Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu, SMK Padang Kemunting, SMK Kompleks Tembesu, SMK Kompleks Seberang Takir, Sekolah Menengah Bukit Guntong dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                 CONTACT US
           
Open source productions