Cetak

Program Bacalah Sayang 2.0 bawa Perpustakaan UniSZA dekati kanak-kanak istimewa

                                                                                 Tabiat membaca perlu disemai sejak dari kecil lagi. Umpama pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sikap suka membaca ini perlu ada dalam naluri semua golongan, tidak kira tua ataupun muda. Membaca perlu dijadikan satu gaya hidup kerana membaca itu merupakan jambatan ilmu.

Dalam mengembangkan minat membaca kepada kanak-kanak, Perpustakaan UniSZA mengambil tanggungjawab dengan mendekati golongan comel ini khususnya murid-murid yang berkeperluan khas. Ini untuk memastikan golongan kanak-kanak ini tidak dipinggirkan dari arus perdana dan mereka juga sama-sama dapat menyumbang kepada negara untuk masa depan.  Program yang dinamakan ‘Bacalah Sayang 2.0’ anjuran Perpustakaan UniSZA ini diadakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Gong Badak (SKGB), Kuala Nerus. Tema pada kali ini ‘IQRA’ with special kids.’

Seramai 40 murid SKGB terpilih mengikuti program sehari ini yang berlangsung pada 25 April 2019. Murid-murid tersebut yang berada dalam program pendidikan khas terdiri daripada Kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran (KKBP) iaitu mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti sindrom down, perkembangan lewat, autisme, hiperaktif, masalah emosi dan masalah pertuturan. Pendidikan khas boleh didefinisikan sebagai kaedah-kaedah yang dibentuk khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak yang mengalami pelbagai kecacatan atau kurang upaya.

                                                                                  

Menurut Ketua Pustakawan UniSZA (Menjalankan Tugas), Puan Norulhuda Makhtar, selain tanggungjawab hakiki yang perlu dilunaskan di universiti, Perpustakaan UniSZA juga turut mempunyai peranan lain kepada masyarakat di luar universiti. Oleh itu, program seperti ini diwujudkan bagi memenuhi tanggungjawab sosial Perpustakaan UniSZA melalui program khidmat masyarakat yang dilaksanakan.

“Ini sebenarnya suatu usaha kecil kami dalam mendekati serta menyebarluaskan ilmu yang ada kepada masyarakat terutamanya kepada warga sekolah. Pada tahun ini, kita cuba membawa kelainan dengan melibatkan murid Pendidikan Khas pula. Melalui siri kedua ini, tema ‘IQRA’ with special kids’ pula digunakan agar terdapat variasi yang dapat mencetuskan idea baru dalam usaha penggiatan budaya membaca dalam kalangan murid sekolah”.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis perasmian program tersebut yang berlangsung di Dewan Khalid al-Walid, SKGB.

Pelbagai aktiviti dijalankan sempena program tersebut. Antaranya Colourful Popsicle, Jigsaw Puzzle, Human Body dan Sing With Me mendapat respons positif daripada murid-murid yang terlibat. Program ini dikendalikan oleh warga Perpustakaan UniSZA dan juga para pelajar latihan industri.

Program ini dapat menggalakkan literasi awal mengenai membaca dan menulis oleh murid-murid khas. Selain itu, ini merupakan platform dalam menyediakan ruang untuk murid-murid khas memperlihatkan kebolehan sedia ada mereka dan menggunakan kaedah yang menarik untuk menarik minat murid-murid khas untuk belajar.

Program dirasmikan oleh Guru Besar SKGB, Encik Ahmad Zohir Harun.

                                                  

                                                 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions