Cetak

Perpustakaan UniSZA dipilih tuan rumah Bengkel Hala Tuju Perpustakaan Universiti Awam

Perpustakaan perlu sentiasa bergerak ke hadapan dalam memastikan segala keperluan dan kehendak semasa dipenuhi. Ini juga bagi memastikan perpustakaan sebagai sebuah institusi keilmuan yang penting sentiasa relevan dan dapat bersaing dengan arus perdana. Apatah lagi, fokus utama kini sedang terarah kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Bagi merealisasikan objektif tersebut, Perpustakaan UniSZA telah dipilih sebagai tuan rumah bagi menganjurkan Bengkel Hala Tuju Perpustakaan Universiti Awam (UA). Bengkel ini berlangsung selama tiga hari bermula 25 Mac hingga 27 Mac 2019 di Ruang Pembelajaran Kolaboratif, Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak.

Bengkel tersebut disertai seramai lebih 25 peserta yang merupakan Ketua-ketua Pustakawan dan Timbalan Ketua Pustakawan dari Perpustakaan Universiti Awam seluruh negara. Bengkel ini juga bertujuan untuk membincangkan pelbagai perkara dalam menentukan hala tuju selain menjana idea-idea baharu dalam perkhidmatan perpustakaan.

Sesi perbincangan ini merupakan agenda yang sangat penting dalam usaha memperkemaskan perkhidmatan perpustakaan bagi mendepani cabaran persekitaran, mendapatkan input-input yang bernas serta menyediakan perkhidmatan perpustakaan yang mantap dan berkualiti seiring dengan keperluan semasa.

Selain sesi bengkel, turut diadakan sesi perkongsian ilmu bertajuk ‘Anticipating Future Challenges’ yang disampaikan oleh Ketua Pusat Sitasi Malaysia, Prof. Madya Dr. Zuraidah Abd. Manaf.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions