Cetak

DR. MASZLEE LANCAR PROGRAM READ@UNI, MENUJU NEGARA MEMBACA 2030

Program Read@Uni Peringkat IPT telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YBhg. YB. Dr. Maszlee Malik dalam satu majlis yang telah diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam pada 29 November 2018 bersempena Kempen Dekad Membaca Kebangsaan. Program hasil kerjasama antara Jabatan Pendidikan Tinggi, Pusat Sitasi Malaysia dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam ini merupakan inisiatif bagi mewujudkan negara membaca pada tahun 2030 dan akan dilaksanakan melalui perpustakaan di semua Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta. Dengan slogan 'With Knowledge We Lead' dan bertemakan #MalaysiaMembaca, kempen ini bertujuan untuk mewujudkan Malaysia sebagai sebuah negara berbudaya membaca dan dapat menyemarakkan lagi pembacaan dalam kalangan kumpulan sasaran iaitu mahasiswa, pensyarah dan staf pentadbiran. Disamping itu, selaras dengan hala tuju kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang kaya maklumat dan paling banyak membaca.

“Banyakkan program bedah buku, bual bicara tentang karya-karya besar, wacana dan debat tentang buku-buku yang mengandungi pemikiran-pemikiran yang tinggi.”

Petikan kata-kata YBhg YB. Dr. Maszlee Malik ketika berucap di Majlis Pelancaran Read@Uni. Program Read@Uni ini, selain menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan cintakan ilmu, inisiatif seumpama ini mampu melahirkan masyarakat yang kaya ilmu dan berpengetahuan tinggi dalam pelbagai bidang disamping ke arah pembentukan bangsa yang kuat, tidak jumud dan bermaklumat.

Institusi Pengajian Tinggi disaran menjadi agen penggerak bagi menyemarakkan lagi kempen membaca dengan mewujudkan suasana pembacaan yang meriah dan mampu melawan budaya hidup ‘mediocre’ dalam kalangan warga masing-masing.

"Suasana membaca yang meriah mampu melawan budaya hidup ‘mediocre’ iaitu budaya hidup pertengahan yang penuh dengan hiburan serta bahan-bahan popular yang langsung tidak mendidik dan langsung tidak menjadikan mahasiswa sebagai golongan berkualiti.

"Biar orang yang tidak membaca merasa kekok kerana tidak membaca seperti mana orang yang tidak mempunyai akaun Facebook merasa kekok melihat orang lain mempunyai akaun Facebook,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran tersebut.

Antara pengisian aktiviti dalam majlis tersebut adalah penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Poster Read@Uni yang mana salah seorang pelajar Fakulti Informatik & Komputeran (FIK) UniSZA, saudari Nurul Ain Syafiqah binti Mat Desa antara yang memenangi hadiah saguhati bagi pertandingan tersebut.

Turut hadir ke Majlis Pelancaran ini adalah YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi A.Latif, Naib Canselor UniSZA, Puan Norulhuda binti Makhtar, Menjalankan Tugas Ketua Pustakawan, Puan Rosnorzaini binti Rusli, Penolong Ketua Pustakawan dan Encik Syaiful Hisyam bin Saleh, Pustakawan UniSZA yang turut serta dan sama-sama memberikan tanda sokongan terhadap program ini serta penglibatan pihak perpustakaan dalam pameran Read@Uni. Pihak perpustakaan UniSZA sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama yang padu dalam menjayakan hasrat murni bagi memenuhi aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia memperkasakan budaya membaca dalam kalangan warga institusi dan seterusnya mendokong Kempen Dekad Membaca Kebangsaan (2021-2030) yang dijangka dilancarkan tahun hadapan.

   

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions