Cetak

UniSZA Lancar Program Penggiatan Membaca 'Read@Uni'

Para ahli bijak pandai ada menyatakan bahawa orang yang mendapat kebahagiaan hidup ialah orang yang menimba ilmu pengetahuan. Ada juga yang beranggapan bahawa kejayaan seseorang diukur berdasarkan kekuatannya tetapi sebenarnya ‘kekuatan’ itu merujuk kepada kekuatan dan kekayaan ilmu pengetahuan. Bagaimanakah lagi caranya untuk memperkaya ilmu pengetahuan? Tentulah melalui jambatan ilmu iaitu membaca. Malahan ayat pertama yang diturunkan ke  bumi melalui Malaikat Jibril kepada junjungan Rasullah S.A.W adalah perintah untuk membaca. Membaca yang bukan hanya sekadar membaca kata-kata tetapi yang membawa kita mendalami suatu ilmu dengan membaca. Sehingga kini, pelbagai kempen galakan membaca sedang dan telah direncanakan di negara ini dengan melibatkan penglibatan banyak pihak.

Program Membaca Peringkat IPT yang bertemakan ‘Read@Uni’ - “With Knowledge We Lead” adalah program dengan kerjasama perpustakaan seluruh universiti awam seMalaysia bersama-sama Pusat Sitasi Malaysia dan DBP yang disambut serentak di seluruh Negara. Tujuan utama program ini ialah untuk memastikan budaya cintakan ilmu berjaya dipupuk dalam kalangan semua lapisan masyarakat terutamanya golongan belia selaras dengan hala tuju kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang kaya maklumat dan paling banyak membaca. Kementerian Pendidikan juga mensasarkan Malaysia sebagai Negara paling banyak membaca menjelang tahun 2030. Kementerian Pendidikan juga telah menjadikan gerakan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan.

Dasar Galakan Membaca telah dibuat bagi tujuan pelaksanaan fungsi Perpustakaan Negara Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam Akta Perpustakaan Negara (Pindaan) 1987 (Akta A667) Bahagian II Seksyen 4(2)m iaitu : “menggalakkan dan memudahkan penanaman sifat gemar membaca”. Ia selaras dengan strategi Dasar Negara bagi Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat mengikut perkara 4.7.5 iaitu : “ untuk menanam dan menggalakkan minat membaca”. Oleh itu, perpustakaan UniSZA telah merencanakan pelbagai aktiviti-aktiviti membaca dan memartabatkan bahasa kebangsaan bersempena kempen membaca kebangsaan dan bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan Oktober sehingga Disember 2018.

Peranan perpustakaan juga kini sentiasa berkembang dari masa ke masa. Untuk itu, Perpustakaan UniSZA juga mempunyai tanggungjawab dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada warga universiti khususnya, dan juga komuniti luar perlu seiring dengan arus perdana dan dapat berjalan dalam memenuhi tuntutan dan keperluan semasa melihatkan trend membaca dalam kalangan belia, sebagaimana juga khalayak awam lain sudah berevolusi mengikut peredaran zaman terutama perkembangan teknologi penerbitan dan kebolehan menerbitkan sendiri (self-publishing).

Selari dengan keperluan semasa tersebut, Perpustakaan UniSZA telah menganjurkan Minggu Perpustakaan 2018 “Sayangi Perpustakaanku, I Love My Library, Uhibbu Maktabati” yang bermula pada 28 Oktober sehingga 1 November 2018 yang lalu dalam usaha pihak perpustakaan dalam menyokong hasrat murni dan matlamat Kementerian Pendidikan meningkatkan amalan pembacaan masyarakat seiring dengan gaya hidup digital rakyat Malaysia. Bagai ‘aur dengan tebing’, kerjasama dan tanggungjawab ini dipikul perpustakaan UniSZA untuk memastikan minat membaca dalam sanubari setiap insan tidak lupus dek teknologi moden yang sedang berkembang dengan deras dan maju seiring dengan pembangunan dan perkembangan negara.  Program Membaca peringkat UniSZA dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor UniSZA (Penyelidikan & Inovasi), Y. Bhg. Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Bin Ahmad pada 29 Oktober 2018 bertempat di Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak.

Selain dari aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan dalam Minggu Perpustakaan UniSZA 2018, pelbagai aktiviti dan program lain telah dirancang sebaiknya melibatkan penglibatan mahasiswa UniSZA dan pelajar sekolah.  Semoga dengan adanya aktiviti seperti ini, keberkesanan kempen-kempen galakan membaca dapat ditingkatkan dan dicapai bagi membentuk masyarakat yang gemar membaca disamping pembentukan bangsa yang kuat, tidak jumud dan bermaklumat. Kejumudan dalam berfikir yang dipengaruhi sikap tidak gemar membaca dapat menjejaskan kemajuan negara dalam arus globalisasi yang mementingkan pemerolehan maklumat terkini. Oleh yang demikian, langkah yang proaktif dan kondusif perlu diambil untuk meningkatkan keberkesanan kempen dan secara tidak langsung menyedarkan masyarakat Negara kini tentang kepentingan dan faedah membaca.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

 

KAJIAN WAKTU PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN KAMPUS PERUBATAN


Klik di sini

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions