Cetak

Minggu Perpustakaan UniSZA “Sayangi Perpustakaanku, I Love My Library, Uhibbu Maktabati احب مكتبتي” - Semaikan Perasaan Cinta ‘Perpustakaan dalam Hati Warga UniSZA

  

Minggu Perpustakaan UniSZA 2018 dengan tema ‘Sayangi Perpustakaanku, I Love My Library, Uhibbu Maktabati احب مكتبتي’ yang berlangsung bermula 28 Oktober hingga 1 November 2018 di Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak bakal menyajikan warga UniSZA dengan pelbagai aktiviti dan pengisian yang menarik. Program tahunan yang berlangsung selama lima hari ini merupakan acara wajib dalam kalendar aktiviti Perpustakaan UniSZA. Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai pengisian menarik telah dirancang sebaiknya untuk seluruh warga UniSZA seperti Program Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan dengan kerjasama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu dan Pusat Kesihatan Pelajar UniSZA, Program Bedah Buku, Program Speakers’ Corner, PG’s Day, E-Resources Day (Latihan Sumber Elektronik),Gerai Jualan dengan kerjasama NZR, Koperasi UniSZA, dan Koperasi USM, Minggu Diskaun Denda kepada para pengguna, Pameran “The Aesthetic of Songket Heritage” serta Penjualan Al-Luqotoh (barang tinggalan pengguna perpustakaan).

Antara pengisian Minggu Perpustakaan 2018 ialah Program Derma Darah yang telah dijayakan dengan kerjasama pihak Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Selain itu, para pengunjung juga mengambil kesemptan ini membuat pemeriksaan kesihatan yang turut dijayakan oleh Pusat Kesihatan UniSZA. Program ini berlangsung pada 31 Oktober 2018 bertempat di Atrium Perpustakaan UniSZA. Sebanyak 128 pendaftaran telah diterima daripada seluruh warga UniSZA, namun yang layak menderma berjumlah 95 orang. Ramai yang tidak dapat menderma darah disebabkan oleh kadar hemoglobin yang rendah serta beberapa faktor lain.

Lebih menarik lagi, aktiviti menguji minda dan infotainment berunsurkan ilmiah turut diadakan. Pengisian aktiviti seperti Test Your Library Trivia dan Library Scavenger Hunt mampu menguji dan mencabar minda dengan lebih aktif bagi mencari jawapan kepada soalan yang diajukan selain menambah ilmu berkaitan perpustakaan. Aktiviti menyeronokkan lain yang turut dianjurkan adalah Bookface ‘Like and Share’ dan Pertandingan Teka Berat Buku.

Selain ingin memenuhi matlamat utama untuk menjadikan perpustakaan sentiasa dekat di hati pengguna, Perpustakaan UniSZA juga ingin mengajak seluruh warga UniSZA untuk sama-sama melibatkan diri dalam menjalankan kerja-kerja amal. Untuk itu, Grab Our Preloved & Charity@Lib iaitu aktiviti jualan sambil beramal turut dibuat bagi memenuhi keperluan tersebut. Ia adalah aktiviti jualan pelbagai barangan terpakai yang disumbangkan oleh warga UniSZA. Segala hasil kutipan jualan amal ini pula akan disumbangkan kepada Tabung Wakaf UniSZA.

Minggu Perpustakaan 2018 dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UniSZA (Penyelidikan & Inovasi), Y. Bhg. Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Bin Ahmad. Dalam majlis tersebut, turut dilancarkan Program Penggiatan Membaca Peringkat UniSZA, Majlis Penyerahan Bantuan Pinjaman Komputer Pelajar UniSZA oleh pihak Bank Simpanan Nasional, Bank Islam Malaysia Berhad dan Bank Kerjasama Rakyat dengan kerjasama Pejabat Wakaf & Infaq UniSZA dan Penganugerahan Anugerah Peminjam Terbanyak Kategori Pensyarah dan Pelajar serta Anugerah Pengunjung Paling Aktif Kategori Pelajar sebagai tanda penghargaan kepada pengguna perpustakaan. Selain daripada pelbagai pengisian yang diatur, banyak hadiah menarik juga menanti para pengunjung yang bertuah. Semoga dengan adanya aktiviti seperti Minggu Perpustakaan ini mampu mendekatkan perpustakaan di hati warganya dan memantapkan peranan perpustakaan sebagai agen penyebaran ilmu pengetahuan dan perkhidmatan yang mesra dan menyeronokkan kepada penggunanya.

 

  

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA | 1HB NOVEMBER 2018

KAJIAN WAKTU PERKHIDMATAN PERPUSTAKAAN KAMPUS PERUBATAN


Klik di sini

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions