Cetak

‘Road to Nationhood’: Terjemahan suka-duka kemerdekaan negara

 

Konsep pameran kemerdekaan bertemakan ‘Road to Nationhood’ pada tahun ini mampu menggambarkan kepada warga UniSZA tentang pentingnya kita mengetahui sejarah kemerdekaaan negara kita selama 61 tahun ini. Selain itu, pameran ini dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan warga UniSZA dan meningkatkan jati diri mahasiswa tentang perlunya menghargai  kemerdekaan yang kita kecapi hari ini dan keamanan yang sedia ada.

Setelah pelbagai kesukaran, dugaan, cabaran dan laluan penuh berliku dihadapi seluruh rakyat Tanah Melayu, akhirnya Tunku Abdul Rahman yang merupakan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, telah berjaya mendapatkan kemerdekaan untuk Persekutuan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957.

 

Sebagai generasi pasca merdeka, kita seharusnya tidak boleh melupakan jasa-jasa para pemimpin dahulu, serta semua rakyat yang telah banyak berkorban demi mencapai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Sebaiknya, kita harus belajar mengenal erti kemerdekaan tersebut kerana dari situlah kita akan belajar menyayangi dan mencintai negara ini. Di samping itu, sebagai seorang rakyat yang hidup dalam sebuah negara demokrasi, kita bertanggungjawab menjaga dan memelihara negara ini sebaiknya serta mengisi kemerdekaan yang sudah lebih 60 tahun dikecapi.

Bersempena juga dengan tema Hari Kebangsaan 2018 iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’, pameran ini juga diadakan bagi meraikan dan menanam semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam pada itu, ini merupakan suatu usaha Perpustakaan UniSZA untuk melahirkan generasi muda terutama mahasiswa supaya mengenali sejarah Malaysia, khususnya sejarah kemerdekaan negara dan menjaga negara berdaulat ini dengan baik.

 

Memetik kata-kata Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj,

“…. merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapat, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan. Dengan kerananya kita terpaksa mengorbankan, bukan sahaja wang ringgit dan usaha tenaga, bahkan jiwa kita sendiri juga …”

          Antara pengisian yang dipamerkan adalah pelbagai petikan kata-kata dari Perdana Menteri Malaysia, infografik mengenai sejarah kemerdekaan Malaysia, ‘Pengisytiharan Kemerdekaan’, ‘Pembentukan Malaysia’ dan ‘Malaysia Selepas Kemerdekaan’. Turut dipaparkan pelbagai gambar serta momen menarik sepanjang perjalanan Malaysia dalam mencapai kemerdekaan. Pameran yang berlangsung bermula 21 Ogos sehingga 30 September 2018 boleh dihayati di Atrium Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA | 31 OGOS 2018

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions