Cetak

Keserasian Perpustakaan UniSZA, JPNT dan BTPNT teruskan kolaborasi Bicara Antara Benua 5.0: Glitter with SKKGB

Pepatah Melayu ada mengatakan, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan keserasian dan kesepakatan yang terjalin antara Perpustakaan UniSZA, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT), kolaborasi ini diteruskan dengan penganjuran program Bicara Antara Benua5.0: Glitter with SKKGB. Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak (SKKGB) terpilih menjadi rakan kolaborasi yang baharu bagi program kali ini.

Program bual bicara berbahasa Inggeris yang berlangsung pada 7 Mac 2018 di Auditorium Perpustakaan UniSZA ini menampilkan pelajar-pelajar sekolah, guru serta beberapa orang ahli panel lain yang mewakili pelbagai negara.

                    

Ia juga merupakan sebuah Program Pengantarabangsaan Aktiviti Pusat Sumber Sekolah (PSS) Negeri Terengganu. Ahli-ahli panel yang diundang pada program ini mewakili lima buah negara iaitu Encik Cornelius Anuar Abdullah Mc Afee (Kanada) selaku moderator, Encik Kazuki Iseno (Jepun), Encik Isyaku Hassan (Nigeria), Moa’yyad Ibrahim Mohamed Suliman (Sudan), manakala Cik Nurul Huda Omar (Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Akademik, Wakil JPNT), Puan Fathiyah Muhamad (guru SKKGB) dan dua orang pelajar SKKGB iaitu Muhammad Irsyad Akmal Syafarie dan Muhammad Athif Khan Sani Gaul mewakili Malaysia.

Turut menyertai program pada kali ini ialah para pelajar dan guru daripada 14 buah sekolah lain iaitu Sekolah Kebangsaan Kerteh, Sekolah Kebangsaan Kijal, Sekolah Kebangsaan Batu 48, Sekolah Kebangsaan Ladang Gajah Mati, Sekolah Kebangsaan IPG Dato’ Razali, Sekolah Kebangsaan Kompleks Tembesu, Sekolah Kebangsaan Pagar Besi, Sekolah Kebangsaan Guntong Luar, Sekolah Kebangsaan Kuala Telemong, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd Said, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Guntong, Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu serta beberapa orang wakil dari JPNT dan BTPNT.

                    

Program yang membincangkan topik perkembangan dan minat membaca dalam kalangan masyarakat yang berlainan bangsa, budaya dan negara. Ini merupakan usaha untuk meningkatkan kebolehan berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selain memberi keyakinan kepada mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa tersebut dengan lebih baik.

Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Hajah Rohani Othman. Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut menyentuh mengenai kepentingan membaca dan menguasai pelbagai bahasa kerana dengan penguasaan bahasa yang baik khususnya bahasa Inggeris mampu memberikan kita peluang untuk menguasai pelbagai cabang ilmu.

                    

“Kemahiran berbahasa adalah suatu elemen penting yang harus dikuasai. Dalam tradisi Islam juga, tidak ada apa yang dikatakan linguistic chauvinisme atau kefanatikan berbahasa. Lebih banyak bahasa yang dikuasai secara jangka panjang adalah lebih baik kerana ruang untuk ilmu pengetahuan berkembang adalah bertambah baik,” katanya.

Menurut beliau lagi, dengan adanya penguasaan bahasa, kita akan mula memahami budaya yang mana dapat membantu kita berfikiran lebih terbuka, bertolak ansur dan lebih berilmu.

Puan Hajah Rohani Othman juga menyampaikan Anugerah Ikon Pusat Sumber Sekolah (PSS) Negeri Terengganu 2017 kepada Tuan Haji Akram@Amir Abd.Majid bagi menghargai semangat kerjasama yang beliau usahakan dalam mengangkasakan PSS Negeri Terengganu.

Terdahulu, pengisian lain turut diadakan iaitu slot perkongsian minda yang disampaikan oleh Timbalan Pendaftar UniSZA, Encik Ahmad Termizi Ab Aziz.

                                                             

Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah, BTPNT, Tuan Haji Alias Talib, dan Ketua Unit Perkhidmatan Sumber Pendidikan, BTPNT, Tuan Haji Akram@Amir Abd. Majid.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA | 7 MAC 2018

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions