Cetak

Ceramah Modal Insan, sukaneka ceriakan Hari Warga Perpustakaan 2018

Pengisian aktiviti seperti Ceramah Pembangunan Modal Insan dan sukaneka telah memeriahkan program Hari Warga Perpustakaan 2018 yang berlangsung pada 3 Februari 2018 lalu.

Program yang dihadiri oleh warga Perpustakaan UniSZA ini diadakan di Auditorium Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak. Program diisi dengan Ceramah Program Pembangunan Modal Insan yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Ali bin Mohd Yusof, pensyarah di Fakulti Pengajian Kontemporari Islam dengan tajuk Penghayatan Konsep Ta’awun dalam Organisasi.

Dalam ceramah tersebut, Ustaz Mohd Ali banyak menekankan supaya kita hendaklah sentiasa saling membantu dan berbuat baik sesama manusia. Ini kerana Islam sentiasa menekankan agar semua manusia menjaga hubungan sesama manusia dan bukan sekadar hubungan dengan Allah semata-mata.

Walau bagaimanapun, beliau turut berpesan agar sebagai manusia juga, kita perlu sentiasa mencari keredhaan Allah kerana sekiranya Allah redha kepada kita, redha manusia juga akan datang kepada kita.

Sebelum itu, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Sabri bin Muda, Pustakawan Kanan, UniSZA. Seterusnya, Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Rohani Othman turut menyampaikan ucapan pada program tersebut.

Program ini kemudiannya disusuli dengan beberapa acara sukaneka iaitu Boling Nyior, Golf, Mencari Harta Karun dan Merisik Khabar.

Usai sukaneka, majlis penyampaian hadiah diadakan bagi meraikan kumpulan yang telah memenangi acara-acara tersebut. Kumpulan yang digelar ‘Cik Kiyoh’ telah  telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam acara sukaneka tahun ini.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Rohani Othman dan Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Faridah Muda.

Turut disediakan hadiah bagi cabutan bertuah kepada warga Perpustakaan UniSZA.

Program tahunan Perpustakaan UniSZA yang diadakan secara santai ini dapat menyatukan hati seluruh warga perpustakaan selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim. Walaupun diadakan serba sederhana tetapi tetap meriah di samping dapat merapatkan jurang antara warga Perpustakaan UniSZA serta memupuk semangat setiakawan.

Program berakhir jam 1.30 tengahari.

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA | 03 FEBRUARI 2018

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions