Cetak

Anugerah Khas Penghargaan Organisasi Penyumbang Teknopen iktiraf usaha Perpustakaan UniSZA

 

Pengiktirafan yang diterima daripada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu (BTPNT) merupakan suatu penghargaan yang amat bermakna buat Perpustakaan UniSZA apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Penghargaan Organisasi Penyumbang Teknopen sempena Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah 2017 Peringkat Negeri Terengganu. Majlis berlangsung di Dewan Besar, BTPN Terengganu, pada 19 November 2017.

Penganugerahan ini bagi menghargai serta mengiktiraf pelbagai usaha serta kerjasama yang telah dijalankan bersama-sama dengan BTPNT, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta sekolah-sekolah yang terlibat dalam menjayakan pelbagai program sepanjang tahun 2017.

Perpustakaan UniSZA berasa bertanggungjawab untuk turut sama dalam membantu pembangunan pendidikan para pelajar. Oleh itu, pelbagai usaha dilaksanakan yang turut membabitkan kerjasama BTPNT, JPNT dan pihak sekolah bagi menjayakan peranan tersebut.

Program Bicara Antara Benua, misalnya, merupakan sebuah program khidmat komuniti perpustakaan kepada masyarakat yang dianjurkan dengan penglibatan pihak sekolah khususnya para pelajar dan guru berkolaborasi bersama warga universiti. Program bual bicara ini adalah sebagai medium perbincangan serta perkongsian idea antara warga sekolah dan universiti di mana ahli panelnya juga bukan sahaja terdiri daripada para pelajar dan guru, malahan turut melibatkan para mahasiswa dan pensyarah antarabangsa UniSZA. Selain itu, objektif program ini diadakan adalah untuk memantapkan kemahiran serta keyakinan diri para pelajar untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, selain memberi motivasi kepada mereka serta berkongsi budaya yang berbeza.

Selain itu, Perpustakaan UniSZA juga turut menyalurkan idea dan kepakaran dalam membantu menaik taraf Pusat Sumber Sekolah (PSS) dengan pembangunan aplikasi sistem pengurusan pusat sumber sekolah. Antara sekolah yang terlibat dalam projek ini ialah Sekolah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (STARS).

Anugerah disampaikan kepada Puan Norulhuda Makhtar, Penolong Ketua Pustakawan UniSZA oleh Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Haji Shafruddin Haji Ali Hussin yang turut merasmikan majlis tersebut.

Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah, BTPNT, Haji Alias Talib dan Puan Rosnorzaini Rusli, Pustakawan Kanan UniSZA.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions