Print

Perpustakaan UniSZA lakar sejarah, dinobat Juara Keseluruhan InDeLib 2017

‘Al-Luqotoh’, hasil inovasi dan penciptaan baru oleh Perpustakaan UniSZA, membawa tuah untuk melakar sejarah apabila berjaya menggondol pingat Emas dan Anugerah Berlian di Pertandingan ‘International Innovation & Design in Library & Information Science’ (InDeLib 2017) pada 13 September 2017. Pertandingan ini berlangsung di Dewan Tun Abu Zahar, Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur.

‘Al-Luqotoh’ telah mencuri perhatian para juri dan akhirnya telah dianugerahkan pingat Diamond serta dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Invention Division. Manakala tempat pertama Gold Medal bagi kategori Organisasi. Pertandingan bertemakan “Continuos Innovation for Excellent” ini melibatkan sebanyak 76 penyertaan daripada pelbagai organisasi termasuklah pelajar dan sekolah. Pertandingan terbahagi kepada empat kategori iaitu organisasi, akademik, pelajar dan sekolah. Setiap kategori tersebut mempunyai tiga kategori berlainan iaitu Invention, Innovation dan Design.

InDeLib 2017 dianjurkan bersama oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Fakulti Pengurusan Maklumat (FPM), UiTM Kedah. Antara Universiti Awam yang turut mengambil bahagian ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan UiTM.

‘Al-Luqotoh’ yang merupakan sistem patuh syariah bagi pengurusan barang tinggalan oleh pengguna perpustakaan. Sistem tersebut dibangunkan oleh kumpulan i-CON PHILOLIB iaitu Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) Perpustakaan UniSZA. Perkhidmatan patuh syariah ini belum disediakan oleh mana-mana organisasi lain setakat ini.

Perpustakaan UniSZA diwakili oleh Puan Rosnorzaini Rusli, Encik Idris Jamaluddin dan Encik Syaiful Hisyam Saleh. InDeLib 2017 diadakan bersempena Persidangan Perpustakaan Se-Malaysia 2017 (PPSM 2017) yang berlangsung pada 12-13 September 2017. Hadiah telah disampaikan oleh Ketua Pengarah PNM, Dato’ Nafisah Ahmad.

 

 

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                 CONTACT US
           
Open source productions