Cetak

Pustakawan persiapkan diri, timba ilmu di Bengkel Training of Trainers (TOT) Asas Mendeley dan ZDOT

Peranan pustakawan pada hari ini tidak lagi hanya tertumpu kepada pengurusan bahan-bahan rujukan semata-mata, tetapi tanggungjawab pustakawan sebenarnya sudah melangkaui ‘tradisi’ tersebut. Hakikatnya, pustakawan kini lebih banyak berperanan sebagai agen utama dalam pembangunan serta penyebaran ilmu, yang bukan sahaja bergantung kepada sumber rujukan semata-mata, malah perlu menyediakan diri bagi menghadapi cabaran arus perdana dalam pembangunan ilmu dan penyelidikan khususnya dalam institusi akademik.

Peranan ini perlu dijayakan sebaiknya oleh pustakawan, apatah lagi mereka ini adalah golongan yang paling hampir dengan segala bentuk sumber ilmu dan bahan rujukan. Oleh itu, Bengkel Training of Trainers (TOT): Asas Mendeley dan Zero Draft of Thesis (ZDOT) ini mampu memberikan pendedahan kepada para pustakawan tentang asas penulisan ilmiah secara praktikal.

Bengkel dalaman yang diadakan pada 21 Ogos 2017 ini berlangsung di Makmal Komputer Tertutup, Perpustakaan UniSZA. Seramai 10 orang pustakawan terlibat dalam bengkel ini. Bengkel ini telah dikendalikan oleh dua orang fasilitator iaitu Encik Syaiful Hisyam Saleh dan Puan Norhazura Yunus.

Pengajian di peringkat sarjana mahupun kedoktoran berorientasikan penyelidikan serta penulisan kertas projek, tesis atau dissertasi memerlukan kemahiran format penulisan yang khusus. Pelajar sarjana dan kedoktoran menghadapi kesukaran untuk memulakan penulisan kerana tiada kemahiran menggunakan perisian seperti MS Word 2010 serta tidak menguasai kemahiran menulis petikan (citation) dan membuat senarai rujukan (references). Oleh itu, bengkel ini akan dapat meningkatkan kemahiran pustakawan dari segi penggunaan tools penyelidikan dan pada masa yang sama kemahiran ini boleh diaplikasikan dalam penulisan buku, artikel, rencana, laporan serta projek.

                                

Ini juga menepati tanggungjawab pustakawan dalam memberi bantuan penyelidikan kepada para pengguna yang mempunyai pelbagai latar belakang. Selain itu, program sebegini dapat memberi nilai tambah kepada pustakawan memandangkan keperluan pengguna hari ini tidak lagi bergantung kepada sumber bacaan semata-mata.

Pendedahan ini sangat penting dalam usaha memperkemaskan pengetahuan pustakawan bagi mendepani cabaran persekitaran, meningkatkan kemahiran penyampaian dan pengendalian latihan yang berkesan, selain membezakan pelbagai jenis artikel dan platform untuk penerbitan. Selain itu, bengkel ini mampu memantapkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan kaedah penyelidikan khusus kepada pustakawan selaras dengan perkembangan dan keperluan semasa.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions