Cetak

Sekitar Sambutan Hari Buku Dan Hak Cipta Sedunia 2017: Warga UniSZA jayakan program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’

Pengisytiharan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April setiap tahun merupakan suatu resolusi daripada persidangan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 15 November 1995.

Sebagai tanda sokongan sambutan hari tersebut, Perpustakaan UniSZA menyambut Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2017, dengan menganjurkan program, ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit’ pada 25 April 2017 yang telah melibatkan seluruh warga UniSZA.

Pada program kali ini yang dijalankan bermula pada jam 11.00 – 11.10 pagi tadi,  melibatkan penyertaan seramai lebih daripada 500 orang, termasuklah staf, pensyarah dan pelajar-pelajar UniSZA yang menjayakan program sambutan tersebut.

Bagi program tersebut, mereka digalakkan untuk membaca bahan-bahan yang sesuai dalam tempoh 10 minit, bermula tepat pada jam 11.00 pagi, tidak kira di mana sahaja mereka berada. Program ini turut melibatkan bukan sahaja mereka yang berada di Kampus Gong Badak, tetapi juga warga UniSZA di Kampus Perubatan dan Besut. 

Program ini dianjurkan bertujuan untuk menyemai dan menyemarakkan budaya membaca di kalangan seluruh rakyat Malaysia di samping memperingati sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Tahun 2017. Malahan, ia juga merupakan suatu usaha untuk membuka mata masyarakat dalam mewujudkan kesedaran kepada mereka mengenai dunia membaca dan dunia penerbitan buku, sehinggalah kepada hak cipta.

Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia juga mampu menjadi medium dalam menarik minat masyarakat supaya lebih mengenali karya–karya atau bahan bacaan yang menarik serta bermutu.

Ia juga bertujuan memartabatkan buku sebagai sumber pengetahuan utama di dunia. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kini semakin menjadi agenda utama dalam masyarakat, namun kita tidak dapat menafikan peranan buku yang menjadi wadah untuk membina peradaban dunia tetap kekal dan tidak berubah, sekalipun dunia dilanda dengan perkembangan gajet dan media hiburan yang kini berada di hujung jari kita.

Bersempena sambutan tersebut, turut diadakan pameran ‘Most Beautiful Libraries in The World’ yang memuatkan pelbagai informasi mengenai perpustakaan di seluruh dunia.

    

    

    

    

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions