Cetak

Persekitaran perpustakaan yang baik mampu melahirkan suasana pembelajaran yang kondusif

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif berkata, persekitaran perpustakaan yang baik mampu melahirkan suasana pembelajaran yang kondusif. Apatah lagi, ditambah dengan kepelbagaian koleksi yang terbaik dan berkualiti, peranan perpustakaan juga semakin penting sebagai sebuah gedung keilmuan dan tonggak kersarjanaan dalam institusi pendidikan. Beliau berkata demikian ketika hadir  merasmikan Pameran Buku Akademik UniSZA 2017 di Atrium Perpustakaan UniSZA, pada 10 Mac 2017.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut menyarankan agar warga UniSZA sama-sama menyokong peranan perpustakaan yang semakin besar pada abad ini. Ini kerana dengan adanya keilmuan yang tinggi adalah suatu senjata ampuh yang mampu memperkasa segala impian yang telah dirancang dalam menjadi institusi pendidikan yang hebat.

                         

Beliau menambah, transformasi bangunan perpustakaan yang ada sekarang adalah suatu penghijrahan yang baik sebagaimana kisah penghijrahan Rasulullah s.a.w dari kota Mekah ke Madinah.

“Kisah Rasulullah s.a.w dalam melaksanakan penghijrahan ke Madinah perlu diteladani semua. Apatah lagi, kaum Muhajirin dan Ansar sanggup melakukan apa sahaja pengorbanan demi menegakkan agama Islam,” ujar beliau.  

Mengambil iktibar kisah penghijrahan tersebut, warga UniSZA juga perlu sama-sama berganding bahu dalam membangunkan impian UniSZA menjadi sebuah universiti tersohor di Malaysia. Menurut beliau, impian ini bukanlah hanya cakap kosong semata-mata, tetapi UniSZA sememangnya mempunyai ramai pakar rujuk yang hebat dan sedang berusaha gigih ke arah itu.

Beliau juga menyeru kepada semua warga akademik untuk merebut peluang yang ada sempena pameran buku ini bagi membuat pemilihan bahan rujukan yang terbaik untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Beliau turut mencadangkan supaya sebuah perpustakaan mini dapat disediakan di setiap fakulti untuk kemudahan warga UniSZA khususnya para pelajar dan pensyarah.

Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Prof. Dr. Kamarul Shukri Mat Teh telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Peminjam Terbanyak bagi Ahli Jawatankuasa Perpustakaan.

Turut hadir di majlis tersebut, Bendahari UniSZA, Prof. Madya Ariza Ibrahim, Dekan-dekan Fakulti, dan Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Rohani Othman.

Usai majlis, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zubaidi sempat meluangkan masa untuk sesi fotografi bersama wakil-wakil pembekal dan tetamu yang hadir serta melawat gerai-gerai di pameran tersebut.

                     

                     

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions