Cetak

Program Keserakanan dan Kesepunyaan serlahkan kolaborasi UniSZA-UMT-SMKKMT

Dalam mempromosikan perkongsian maklumat dan ilmu kepada warga pendidik dan pelajar, Perpustakaan UniSZA dan Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkolaborasi menganjurkan Program Keserakanan dan Kesepunyaan (KK) pada 24 Januari 2017 lalu. Program kali ini mendapat kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Seberang Takir (SMKKMT), Kuala Nerus.

Program yang melibatkan guru dan pelajar sekolah tersebut telah berlangsung di Pusat Sumber Sekolah SMKKMT. Seramai 22 orang pelajar bersama dua orang guru telah menyertai program tersebut. Program ini merupakan pendedahan kepada para pelajar dan guru mengenai peranan pusat sumber sekolah dalam menyedia dan menguruskan khazanah ilmu kepada warga sekolah.

Selain sesi ceramah, mereka juga turut mendapat pengalaman baru mengenai pemuliharaan bahan-bahan perpustakaan melalui Bengkel Pemulihan Bahan Cetak yang merupakan salah satu daripada agenda program. Bengkel selama lebih dua jam ini memberi peluang kepada pelajar dan guru untuk mempelajari kerja-kerja penjilidan dan pemuliharaan bahan-bahan perpustakaan. Bengkel dilaksanakan secara hands-on dan dikendalikan oleh dua fasilitator daripada Perpustakaan UniSZA iaitu Encik Hilmie Aiman Abdullah dan Encik Haniff Rizal Mohd Zahid. Terdahulu, pelajar dan guru juga diberikan penerangan mengenai kepentingan pemuliharaan bahan-bahan perpustakaan dan teknik-teknik penjilidan.

Menurut Puan Norhayati Yusof, Guru Perpustakaan dan Media di SMKKMT, bengkel ini diadakan supaya pelajar dapat mempelajari ilmu berkaitan pengurusan perpustakaan selain dapat memberi nilai tambah kepada pelajar tersebut.

             

Turut hadir pada program tersebut Encik Mohd Shahrulnizam Zuraimi, Pustakawan Kanan, PSNZ yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pengurusan Pusat Sumber’.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA

                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions