Cetak

Sakit bukan alasan untuk tidak berpuasa

Timbalan Dekan Akademik & Siswazah (Sains Perubatan), Fakulti Perubatan, UniSZA, Prof. Dr. Harmy bin Mohamed Yusoff menyeru kepada semua agar tidak sesekali menjadikan penyakit itu sebagai alasan atau halangan untuk tidak berpuasa. Ini kerana teknologi perubatan kini sudah menongkah arus dan semakin moden membolehkan para pesakit menunaikan ibadah puasa sempena bulan Ramadhan yang mulia ini. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai “Puasa dan Kesihatan” pada program Ceramah Pembangunan Modal Insan Siri 3/2015, 6 Julai lalu di Atrium Perpustakaan, UniSZA.

Beliau turut menambah, selain daripada ia merupakan tuntutan ibadah dalam Islam, berpuasa juga dapat memberikan impak yang baik kepada kesihatan tubuh badan. Pendapat ini sememangnya diakui oleh pakar dan ilmuwan bidang perubatan yang menjalankan kajian sejak sekian lama dalam usaha mengkaji manfaat puasa dari sudut kesihatan. Hasil kajian mereka juga mendapati bahawa amalan berpuasa tidak sekali-kali memudaratkan. Apa yang lebih menakjubkan, pakar kesihatan dunia juga memperakui amalan berpuasa terutama sekali berpuasa di bulan Ramadhan mampu mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit. Selain itu, puasa juga memberi kesan positif terhadap metabolisme tubuh badan dan menjadi pencegah kepada serangan pelbagai penyakit khususnya gejala lebihan gula dan lemak.

Walau bagaimanpun, beliau turut menasihatkan kepada mereka yang menghidap sebarang penyakit yang ingin berpuasa untuk merujuk kepada doktor terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Selain itu, beliau juga menyeru kepada semua umat Islam agar menjaga amalan pemakanan di bulan Ramadhan ini dan menggalakkan kita mengamalkan pemakanan mengikut sunnah Rasulullah.

Turut hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Rohani Othman, Timbalan Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Faridah Muda serta staf UniSZA dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj).

 

 

Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR

Gambar PERPUSTAKAAN UniSZA

 
                          HUBUNGI KAMI
                           
                             
Open source productions