Ketua Pustakawan UniSZA Galak Manfaatkan Pelbagai Medium Zahirkan Semangat Kemerdekaan
Usia kemerdekaan negara kini sudah menjangkau 67 tahun. Sepanjang usia kemerdekaan itu, pelbagai kejayaan telah ditempa oleh rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek. Dari sungai, lautan, darat dan angkasa, semua telah mampu ditawan membuktikan rakyat Malaysia merupakan bangsa yang perlu dihormati dan disanjung tinggi di dunia.
Ketua Pustakawan UniSZA, Puan Norulhuda Makhtar menyeru agar generasi muda khususnya para pelajar dapat memanfaatkan pelbagai medium masa kini bagi menzahirkan semangat kemerdekaan dan patriotisme kepada negara.
Oleh itu, program Pertandingan Deklamasi Sajak Dan Pertandingan Inovasi Replika Kemerdekaan Sempena Bulan Kemerdekaan, Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB) yang diadakan pada 4 September 2024 lalu ternyata merupakan salah suatu wadah bagi memupuk semangat cintakan tanah air serta sayang kepada bangsa dan agama.
Selain itu, katanya, program sebegini juga mampu menonjolkan bakat-bakat pelajar supaya dapat disalurkan menjadi suatu kreativiti yang hebat dengan pendedahan yang baik. Selain itu, program ini juga mampu memberi pendedahan kepada anak-anak muda ini tentang pentingnya memelihara budaya dan warisan negara.
“Sajak adalah salah suatu medium seni untuk membolehkan anak-anak meluahkan kreativiti mereka selain dapat memupuk semangat cintakan negara. Manakala inovasi pula mampu mencetuskan semangat juang serta menyemai kesedaran tentang pentingnya mempertahankan kedaulatan negara.
Generasi muda seperti mereka ini perlu sentiasa dibimbing dengan baik supaya mereka sedar betapa payahnya nenek moyang kita mengecapi kemerdekaan dan kebebasan yang kita perolehi selama 67 tahun,” katanya.
Beliau berucap ketika hadir merasmikan program Pertandingan Deklamasi Sajak Dan Pertandingan Inovasi Replika Kemerdekaan Sempena Bulan Kemerdekaan, Perpustakaan Al-Wathiqu Billah yang berlangsung di Atrium PWB, UniSZA Kampus Gong Badak.
Program yang diadakan ini telah membabitkan penyertaan seramai lebih 50 orang pelajar dan guru sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Nerus.
4 September 2024
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA