Welcome to the Official Website of Perpustakaan Al-Wathiqu Billah, Universiti Sultan Zainal Abidin

Call us on

09-668 7761

Address

UniSZA, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu

KONSEP ‘JIWA MERDEKA’ MENELUSURI BUDAYA, HARGAI WARISAN SENI TERENGGANU

Arus perdana menjadikan gaya hidup kita kian berubah. Keperluan semasa juga menjadikan kita terkadang lupa memberi sedikit ruang dan waktu untuk diri kita kembali sekejap menjengah jendela sejarah, peristiwa dan memori yang menjadi tapak asas kepada kemajuan negara kita kini. Hakikatnya, tidaklah sedikit pengorbanan yang dituntut, tidaklah kurang darah yang mengalir, begitu banyak air mata yang bercucuran, mengenangkan segala perit payah nenek moyang kita dahulu memperjuangkan nasib bangsa dan tanah air tercinta.

67 tahun penuh bermakna kemerdekaan yang dikecapi ini, pelbagai kejayaan sudah ditempa. Malaysia sudah boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara lain. Dengan azam yang membumbung, tekad dan waja yang padu, menyongsong ombak yang bergulung demi merealisasikan sebuah impian dan cita-cita yang selama ini seolah-olah angan-angan semata.

Seusai pelbagai kejayaan dan kegemilangan digenggam, negara semakin terus ke hadapan. Namun, lipatan sejarah itu tidak mungkin terpadam kerana sejarah itulah mewarnai keindahan Malaysia. ‘Jiwa Merdeka' yang disemai menzahirkan kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dalam menginterpretasikan semangat patriotik melalui aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif.

Inilah hasrat yang ingin diterjemahkan oleh Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB), UniSZA melalui pameran “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” bersempena Hari Kemerdekaan ke-67. Pameran ini mengetengahkan Jambatan Angkat Terengganu atau ‘Drawbridge’ yang menjadi mercu tanda negeri Terengganu dan wau yang merupakan ‘ikon’ kebudayaan dan kesenian negeri ini.

Jambatan Angkat Kuala Terengganu, yang juga dikenali sebagai ‘Drawbridge’ merupakan yang pertama dibina di Asia Tenggara. ‘Drawbridge’ ini membawa simbol kepada perhubungan, kerana menghubungkan kawasan-kawasan yang terpisah oleh sungai. Jambatan ini mencerminkan pencapaian dalam bidang kejuruteraan dan binaan, bolehlah dianggap sebagai simbol kepada pengetahuan dan kepakaran yang diterapkan dalam pembinaan infrastruktur moden, menggambarkan kemajuan dalam ilmu pengetahuan dan teknologi. Jambatan ini juga boleh dikaitkan dengan peribahasa “membaca jambatan ilmu”, kerana jambatan menghubungkan dua kawasan terpisah, membaca menghubungkan seseorang dengan ilmu pengetahuan yang perlu diterokai. 

Selain replika Jambatan Angkat, turut menjadi ‘bintang’ pameran tersebut ialah hiasan wau yang menggambarkan kehalusan seni dan kemahiran kraf tangan masyarakat Melayu. Reka bentuk dan hiasan yang rumit pada wau menggambarkan keindahan kreativiti seni tradisional. Selain itu, terdapat tiga jenis wau yang menarik perhatian di pameran tersebut iaitu wan bulan, wau kucing dan wau jala budi.

Pameran ini juga adalah usaha murni PWB untuk mengangkat budaya dan warisan Terengganu supaya generasi muda sentiasa menghargai segala apa yang ada di sekeliling kita dan mencintai seni budaya bangsa. Budaya warisan kita ini menjadikan lahirnya peradaban bangsa yang tinggi ilmunya. Segala yang kita nikmati selama ini, bukan sekadar untuk dilihat dan dirasai oleh panca indera tetapi juga perlu dipelihara dan dikekalkan sebagai khazanah negara yang tidak ternilai harganya.

 

 

       

 

9 Mei 2024

 PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA

Contact Us

Al-Wathiqu Billah Library (PWB)
Universiti Sultan Zainal Abidin
Gong Badak Campus
21300 Kuala Nerus
Terengganu Darul Iman
MALAYSIA

  09-668 7761
  09-668 7854
  library@unisza.edu.my
logo3d left

Location

Follow Us

Visitors

445460
Today: 219
Yesterday: 100
This Week: 1,249
Last Week: 694
This Month: 1,826
Last Month: 3,414
Total: 445,460