PWB Sambut Bulan Muharam Dengan Gotong-Royong Memasak Juadah Tradisi
Dalam kalendar Hijri, bulan Muharam adalah salah satu daripada bulan-bulan Haram. Turutan susunan dalam takwim atau kalendar Hijrah sebagai bulan pertama yang menandakan permulaan tahun baru dalam Islam.
Rasulullah SAW telah pun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda yang bermaksud:
“Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban. (Riwayat al-Bukhari).
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa bulan Muharam dimuliakan kerana termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang serta sangat dihormati. Selain itu, dari sudut amalan soleh menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.
Selain puasa dan amalan sunat lain yang dilakukan, penyediaan hidangan ‘Bubur Asyura’ amat sinonim dengan kedatangan bulan Muharam ini. Secara tradisinya, masyarakat Melayu menyambutnya dengan mengadakan jamuan Bubur Asyura.
‘Bubur Asyura’ atau dikenali juga ‘Bubur Sura’ adalah hidangan tradisional yang disediakan istimewa pada bulan Muharam dengan pelbagai campuran ramuan sempena meraikan bulan Muharam terutamanya pada hari kesepuluh Muharam.
Bersempena dengan sambutan tersebut, ‘Program Kacau Bubur Asyura PWB’ telah dianjurkan oleh Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB) pada 31 Julai 2023. Program ini yang dijalankan secara bergotong-royong melibatkan semua warga PWB juga turut mengeratkan silaturahim dalam kalangan mereka.
Seawal 9.00 pagi lagi, kerja-kerja memasak telah dimulakan dengan dengan penyediaan bahan-bahan untuk memasak bubur. Antara bahan-bahan yang disediakan bagi memasak juadah popular ini termasuklah beras, kacang, jagung, ayam, santan dan rempah-ratus khusus yang disediakan khas untuk hidangan ini.
Lain padang, lain juga belalangnya. Begitu juga dengan hidangan bubur asyura yang mempunyai pelbagai resepi unik mengikut negeri masing-masing.
Selain dapat menikmati keenakan juadah tradisi, program gotong-royong ini juga merupakan suatu amalan baik yang perlu dipertahankan supaya tradisi ini tidak akan lapuk dek hujan, tidak akan lekang dek panas. Usai siap dimasak, juadah tersebut diagihkan kepada semua warga PWB.
31 JULAI 2023
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA