LibraryWeek2023@PWB kembali ‘bertandang’ selepas pandemik
Program LibraryWeek2023@PWB kembali menemui warga UniSZA setelah ‘berehat panjang’ ketika pandemik COVID-19. Program yang berlangsung pada 12 hingga 14 Jun 2023 ini mempunyai pelbagai pengisian menarik menghiasi kalendar atur cara program.
Selepas empat tahun, program tahunan Perpustakaan Al-Wathiqu Billah (PWB), UniSZA ini kembali dengan aktiviti seperti Program Derma Darah bersama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Bengkel Penjilidan dan Pembaikan Ringan Bahan-bahan Perpustakaan, Bicarawara KUSZA: Memperkaya Ilmu, Membudayakan Akhlak, E-Resource Day, Kaunter Diskaun Denda, Kaunter Data Penyelidikan dan pameran ‘Sejarah Kertas’.
Program Bicarawara KUSZA: Memperkaya Ilmu, Membudayakan Akhlak menampilkan Pro-Canselor, UniSZA,Tan Sri Dato’ Dr. Mohamad Yusof bin Hj Mohamed Noor dan mantan Pendaftar UniSZA, Tuan Haji Nurul Huda@Ariffin bin Muda selaku panel jemputan serta pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA, Ustaz Wan Ismail bin Wan Abdullah selaku moderator. Program ini merupakan segmen pengisahan sejarah yang menyingkap sejarah KUSZA bermula sebagai sebuah sekolah agama yang akhirnya menjadi sebuah Universiti Awam tersohor di Pantai Timur.
Selain itu, E-Resource Day juga diadakan sebagai sesi perkongsian ilmu bagi memberi pendedahan kepada para pelajar untuk menggunakan sumber-sumber elektronik. Ini juga merupakan usaha dan tanggungjawab PWB untuk memastikan para pengguna dapat memanfaatkan penggunaan sumber elektronik yang dilanggan secara optimum.
Dalam pada itu, PWB turut menyediakan anugerah istimewa kepada pengguna, iaitu anugerah Peminjam Terbanyak untuk kategori pelajar siswazah dan prasiswazah. Inisiatif ini sebagai penghargaan kepada para pengguna yang aktif meminjam bahan-bahan rujukan di perpustakaan. Anugerah ini telah disampaikan oleh Pro-Canselor, UniSZA,Tan Sri Dato’ Dr. Mohamad Yusof bin Hj Mohamed Noor kepada para pemenang di Majlis Perasmian Penutupan LibraryWeek2023@PWB pada 14 Jun 2023.
Aktiviti permainan santai juga menyerikan program pada kali ini. Permainan seperti Teka Berat Buku, Test Your Library Trivia Knowledge dan Barbie Doll Dress Up menarik perhatian para pelajar untuk turut sama menjayakan aktiviti tersebut.
Misalnya, ‘Barbie Doll Dress Up’ adalah antara aktiviti yang dijalankan bersama pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) untuk merapatkan hubungan pelajar-pelajar ini dengan PWB. Aktiviti santai ini memerlukan para peserta menggunakan kreativiti mereka untuk menghias patung permainan dengan pelbagai peralatan yang diberikan. Beberapa orang wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniSZA turut sama menyertai aktiviti tersebut
Dalam pada itu, Kaunter Diskaun Denda disediakan khusus kepada semua pengguna bagi membolehkan mereka menyelesaikan denda perpustakaan. Bersempena LibraryWeek2023@PWB juga, PWB memberikan diskaun atau potongan denda istimewa sebanyak 50 peratus kepada semua pengguna.
Tidak ketinggalan komuniti luar juga dijemput menyertai program kali ini. Pelbagai gerai jualan yang terdiri daripada produk makanan, barangan kegunaan harian, gajet dan pakaian turut memeriahkan program.
Program LibraryWeek2023@PWB diadakan bertujuan untuk mempromosi perkhidmatan perpustakaan kepada warga universiti serta menonjolkan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan kepada para pengguna. Usaha ini perlu diteruskan bagi memastikan perpustakaan sentiasa dekat di hati pengguna di samping menjadi tunjang utama dalam menyokong proses pembelajaran dan pengajaran di Institusi Pengajian Tinggi.
14 JUN 2023
PERPUSTAKAAN AL-WATHIQU BILLAH (PWB), UniSZA