GALERI ‘PAK SAMAD’, MEDAN PERKONGSIAN ILMU KESARJANAAN SASTERAWAN NEGARA DI PERPUSTAKAAN UNISZA

Berbicara tentang sastera dan puisi, nama Datuk Seri A. Samad Said antara nama yang sering menjadi perhatian. Karya-karya agung seperti Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikir, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Adik Datang dan Daerah Zeni merupakan antara yang menjadi naskhah penting dalam membawa beliau ke arena sastera dan penulisan. Beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad pernah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN) pada tahun 1985 dan telah menghasilkan pelbagai hasil penulisan sebagai medium dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

 

Hari ini, segala hasil penulisan beliau dapat dihayati secara lebih dekat kerana lebih 100 karya dan dokumentasi SN tersebut, kini dipamerkan di Galeri Sasterawan D UniSZA: A. Samad Said. Galeri yang terletak di Perpustakaan UniSZA memaparkan pelbagai hasil karya beliau selain keratan akhbar, novel, catatan-catatan penulisan dan gambar-gambar beliau.

 

Galeri ini ditubuhkan bersempena dengan pelantikan Pak Samad sebagai Sasterawan D UniSZA. Ini sebagai menyahut saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mahu universiti awam ‘menempatkan’ Sasterawan Negara di institusi masing-masing bagi menghargai sumbangan golongan itu kepada negara.

 

Pak Samad sempat berkunjung ke Perpustakaan UniSZA untuk melawat galeri tersebut pada 9 Mac 2019 seusai program ‘Sasterawan D Universiti: Sehari Bersama Pak Samad’. Beliau yang diiringi Naib Canselor UniSZA, Profesor Dato' Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan serta para pegawai kanan UniSZA meluangkan masa kira-kira satu jam bagi melihat bahan-bahan yang dipamerkan.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA