PROGRAM KOLABORATIF BAITUL HIKMAH SMK DATO’ RAZALI ISMAIL BERSAMA PERPUSTAKAAN UNISZA

Pada tanggal 7 Mac 2019 seramai 61 orang Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) diiringi 3 orang Guru Perpustakan dan Media (GPM) Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Razali Ismail (SMKDRI) telah mengadakan program Kolaboratif Baitul Hikmah SMKDRI dengan Perpustakaan UniSZA, Kampus Gong Badak.

Program ini merupakan inisiatif pihak sekolah untuk memberi pendedahan kepada Pengawas PSS tentang pengurusan perpustakaan yang efektif. Program yang bersifat kursus atau latihan ini telah dikendalikan oleh En. Mohd Sabri bin Muda, dibantu oleh Pn. Puspa Abd. Rashid dan 2 orang pelajar latihan industri Universiti Teknologi MARA (UiTM). Melalui program ini, pihak sekolah berhasrat untuk menyediakan pendedahan dan pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel, menarik, berfokus dan bersesuaian dengan tugas dan tanggungjawab Pengawas PSS.

Antara objektif lain program ini ialah untuk memberi peluang kepada Pengawas PSS mendapatkan pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah, disamping memperkembangkan kemahiran berkomunikasi, berinteraksi dan bersosial dengan masarakat di luar sekolah.

Kemuncak program setengah hari itu, mereka telah di bawa untuk melawat sekitar Perpustakaan UniSZA, melihat proses kerja di Bahagian Pengurusan Teknikal dan Bahagian Perkhidmatan Pengguna.

BERITA & GAMBAR : PERPUSTAKAAN UniSZA