RENDANG AYAM ‘WESTLAW’, RENDANG DAGING ‘SCOPUS’ PERPUSTAKAAN UNISZA PIKAT HATI TETAMU
Bersempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri UniSZA 2015, Perpustakaan UniSZA juga tidak ketinggalan untuk turut serta dalam majlis tersebut yang telah diadakan pada 29 Julai 2015, bertempat di Dataran Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA Kampus Gong Badak. Majlis yang melibatkan kesemua Pusat Tanggungjawab (PTj) di UniSZA ini telah dihujani dengan kehadiran para tetamu terutamanya para staf dan juga pelajar UniSZA.
Pelbagai juadah untuk majlis ini telah disediakan oleh PTj yang terlibat. Juadah utama yang diberi nama Rendang Ayam ‘Westlaw’ dan Rendang Daging ‘Scopus’, disediakan oleh staf Perpustakaan UniSZA telah memikat hati para tetamu di khemah Perpustakaan UniSZA di majlis tersebut. Selain itu, Perpustakaan UniSZA juga turut menyediakan Bubur Kacang Durian ‘MyRA’ dan Bubur Kacang ‘SETARA’ sebagai hidangan pemanis mulut. Kemeriahan sambutan ini lebih terasa dengan pelbagai hiasan khemah yang berwarna-warni serta kreatif oleh semua PTj bagi menggambarkan dan menceriakan suasana sambutan Hari Raya. Apatah lagi, ditambah dengan aura Syawal yang masih terasa bahangnya. Dalam majlis ini juga, Perpustakaan UniSZA turut diumumkan sebagai salah satu pemenang dalam Pertandingan Hiasan Khemah yang diadakan sempena Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri UniSZA 2015.
Majlis ini turut diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berbahagia, Prof. Datuk Dr. Yahaya Ibrahim, Naib Canselor UniSZA. Terdahulu, beliau turut hadir dalam program “Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) 2015” anjuran bersama UniSZA, Majlis Profesor Negara (MPN), Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang diadakan di Dewan Perdana, UniSZA, Kampus Gong Badak. Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri UniSZA ini juga dimeriahkan dengan kehadiran ahli-ahli MPN usai program tersebut.
Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri tersebut bermula jam 11.00 pagi dan berakhir jam 2.30 petang. Majlis ini juga diadakan untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara staf UniSZA selain dapat mengeratkan lagi hubungan antara PTj.
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR