PERPUSTAKAAN UNISZA TERIMA PELAWAT DARI UTARA TANAH AIR
Pada musim cuti sekolah yang sedang bermula ini, rata-rata pihak sekolah mengambil kesempatan ini untuk mengisinya dengan pelbagai aktiviti berfaedah untuk para pelajar khususnya. Antara program yang dijalankan adalah lawatan sambil belajar ke universiti dan juga institusi pengajian tinggi tersohor di negara ini. Untuk itu, Perpustakaan UniSZA juga hari ini berbesar hati menerima kedatangan para pelajar dan guru dari dua buah sekolah di utara tanah air iaitu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petani, Kedah dan juga Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu, Pulau Pinang. Lawatan ini melibatkan seramai 34 orang pelajar dan 20 orang pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Petani dan 34 orang pelajar bersama 6 orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan Guar Perahu.
Lawatan sambil belajar ini merupakan suatu medium yang mampu memberikan suntikan semangat serta motivasi untuk mereka menjejakkan kaki ke universiti bagi menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, ia juga dapat memberi pendedahan khusus serta membuka minda mereka mengenai perpustakaan dan juga mampu memberikan suatu pengalaman bermakna serta dimensi baru kepada mereka. Rombongan kedua-dua buah sekolah yang tiba pada jam 2.00 petang ini disambut oleh beberapa orang staf Perpustakaan.
Seterusnya, mereka diberikan sedikit taklimat mengenai Perpustakaan UniSZA di Dewan Auditorium Perpustakaan dan kemudiannya dibawa melawat ke sekitar Perpustakaan UniSZA bagi melihat sendiri kemudahan infrastruktur serta perkhidmatan yang disediakan. Ini merupakan salah satu pengisian mereka dalam program lawatan mereka ke UniSZA. Sesi lawatan berakhir jam 3.30 petang
Berita NOORFADZILAH MOKHTAR@MAKHTAR